[VIDEO] Mabuk, perselisihan faham punca sekumpulan lelaki bertumbuk di Kulai


  • Tular
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Tangkap layar sekumpulan individu bergaduh di Jalan Kiambang 12 Indahpura, Kulai pada Rabu.

BEBERAPA rakaman video dan gambar mengenai kejadian pergaduhan dipercayai membabitkan dua kumpulan lelaki berhampiran sebuah pusat hiburan di Jalan Kiambang 12 Indahpura, Kulai, Johor tular sejak Khamis.

Rakaman video dalam kejadian yang dikatakan berlaku pada Rabu itu dimuat naik ke dalam Laman Facebook Traffic Info Crew.

Difahamkan, salah satu video tular berkenaan berjaya dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan milik salah seorang individu yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Pada waktu kejadian yang berlaku pada pukul 2.52 pagi Rabu itu memaparkan beberapa orang lelaki sedang bergaduh mulut.

Kejadian menjadi lebih tegang apabila berlaku insiden tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk antara kumpulan lelaki yang terlibat.

Beberapa individu turut dipercayai tercedera dalam pergaduhan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Katanya, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 21 tahun pada pukul 3 pagi (Khamis).

"Pengadu mendakwa ketika dia bersama empat rakannya sedang minum didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba menampar bahagian muka rakannya itu.

"Pengadu melaporkan kemudian datang dua kereta dinaiki 11 individu termasuk seorang wanita bertindak memukul rakan-rakannya itu menyebabkan mereka cedera di kepala, tangan dan kaki," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Beng Yeow lagi, bertindak atas maklumat yang diberi, polis menahan empat lelaki berusia 24 hingga 28 tahun dalam tempoh 24 jam selepas kejadian.

Mereka dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu ditahan kira-kira pukul 11.20 malam Khamis menerusi satu serbuan di sebuah kedai makan di Jalan Iris 8.

Hasil siasatan awal mendapati punca pergaduhan kerana mabuk dan perselisihan faham. Semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Semua suspek direman empat hari bermula Khamis hingga Ahad depan dan kes disiasat mengikut 147 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram