SEORANG pemandu yang menaiki kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) berwarna putih cuba melarikan diri selepas dipercayai terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Insiden tersebut dirakam dalam satu video berdurasi 30 saat yang mula tular sejak Isnin.
Menerusi klip tersebut, pemandu berkenaan pada awalnya dilihat enggan keluar daripada kenderaannya selepas terbabit dalam kemalangan yang berlaku di satu simpang utama jalan.
Individu yang merakam insiden itu turut mendakwa pemilik kenderaan terbabit memandu dalam keadaan mabuk.
Pada masa sama, dua buah kereta polis dilihat sudah tiba di lokasi kemalangan.
Namun begitu, difahamkan kenderaan terbabit cuba melarikan diri apabila video sama turut menunjukkan ia kemudiannya berada di tempat berlainan, iaitu di jalan kawasan sebuah perumahan.
Pada waktu itu, sekumpulan individu turut mengelilingi kenderaan terbabit dengan seorang anggota polis dilihat mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke bahagian tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan
Cermin hadapan kereta terbabit juga didapati sudah mengalami keretakan.
Setakat laporan ini ditulis, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan insiden tersebut.
Status mengenai keadaan mangsa dan kerugian harta benda yang terlibat juga masih belum dikenal pasti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram