[VIDEO] Mengaku warga tempatan, 'goldman' di Bandar Hilir 'pecah lubang' dirinya lelaki Rohingya


  • Tular
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Tangkap layar seorang lelaki didakwa warga Rohingya memperdaya orang ramai di Bandar Hilir.

BANDAR Hilir, Melaka sememangnya merupakan antara lokasi tarikan pelancong mahupun masyarakat di Malaysia yang gemar berkunjung di kawasan tersebut terutamanya di musim percutian.

Pelbagai tempat serta aktiviti menarik yang boleh dilakukan di situ di samping keunikannya yang sememangnya terkenal sebagai bandar bersejarah.

Bagi mereka yang pernah berkunjung ke situ, pastinya pernah terjumpa kelibat individu berbaju emas atau lebih dikenali sebagai 'goldman' di sekitar Bandar Hilir.

Berpakaian serba kuning dari hujung rambut ke hujung kaki, rata-ratanya tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan individu terbabit selain tidak lokek dalam menderma seikhlas hati kepadanya.

Namun, satu video tular di laman TikTok baru-baru ini membongkarkan individu di sebalik kilauan emas itu ialah warga Rohingya.

Enggan mengaku dirinya pendatang asing, lelaki tersebut pada mulanya mengaku sebagai warga tempatan ketika disoal si perakam.

Namun, selepas beberapa kali dipertikaikan, individu berkenaan akhirnya mengaku dirinya etnik Rohingya selain turut meminta agar rakaman itu dihentikan.

Hangat diperkatakan di laman TikTok, rata-rata warganet menggesa agar polis segera menjalankan siasatan terhadap isu tersebut.

"Dengar suara pun dah tahu memang bukan orang Malaysia, selama ini kita semua tertipu bagi duit semata-mata nak bergambar," kata Rahimah Rusiah.

"Ramai lagi Rohingya yang tinggal di Melaka tanpa lesen, buka kedai besi buruk dan buat kerja macam ini, polis tolong ambil tindakan," ujar Chanthana345.

"Bukan nak berkira, tapi kalau warga asing buat macam ini dah dikira kes jenayah, ramai pelancong semua bagi duit sehari, fikirkan berapa dia kaut agaknya," jelas Nazmikiman35.

Video tersebut belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak polis setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram