[VIDEO] Tak padan kecil, dua budak selamba rembat kemeja, seluar 'slack' di dobi layan diri


  • Tular
  • Jumaat, 02 Jun 2023

Tangkap layar dua budak lelaki mencuri pakaian dari sebuah premis dobi layan diri di Sungai Lalang, Kuala Muda. — TikTok

TINDAKAN dua budak lelaki yang mencuri pakaian di sebuah premis dobi layan diri dekat Sungai Lalang, Kuala Muda, Kedah mengundang perhatian warganet.

Situasi tersebut yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), jelas menunjukkan kelakuan dua kanak-kanak lelaki berkenaan yang terlebih dahulu datang dengan menaiki motosikal.

Menyedari tidak diperhatikan sesiapa, salah seorang daripadanya kemudiannya terus berjalan ke mesin basuh di situ dan mengambil beberapa helai pakaian.

Dimuat naik di laman TikTok, seorang individu dipercayai pemilik baju tersebut meluahkan kekecewaannya selepas pakaiannya hilang.

"Baju kerja saya dua helai dan seluar slek dua helai dicuri oleh budak-budak ni. Minta sesiapa yang ada maklumat tentang mereka atau kenal mereka hubungi saya (013-8778272).

"Baju kerja abang dik, kenapa nak diambil," ujarnya.

Rakaman itu berakhir dengan kanak-kanak terbabit berjaya melarikan pakaian tersebut dan beredar dari premis dobi berkenaan tanpa diketahui sesiapa.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil di balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram