Selain Assifuah, 'tanker' muda Sang Kenari jadi idaman fans bergandingan dengan Bojan Ciger


  • Podium
  • Khamis, 01 Jun 2023

Beberapa pemain di saingan Piala MFL berpotensi untuk diserap masuk ke skuad utama Kedah di Liga Super. — Facebook/KDAFC

PERSEMBAHAN goyah dipamerkan skuad Kedah (KDA FC) dalam saingan Liga Super musim ini kian meresahkan peminat dengan taktikal serta corak permainan Kedah semakin mudah dibaca pihak lawan.

Gagal mengekalkan momentum kemenangan dan konsisten dalam setiap perlawanan menunjukkan betapa skuad Kedah ketika ini ketandusan strategi khususnya di bahagian jentera serangan.

Selain itu, benteng pertahanan juga dikatakan semakin longlai dengan penyerang pasukan lawan mudah menembusi masuk ke kawasan kotak penalti menerusi hantaran lintang dan gerakan licik pemain.

Kekalahan 2-3 kepada pasukan Gergasi Merah baru-baru ini telah membongkar segala kelemahan yang perlu diperbaiki Nafuzi Zain dalam membentuk gandingan mantap terutamanya di benteng pertahanan.

Susulan itu, peminat mula melihat beberapa pilihan pemain dimiliki Sang Kenari yang mampu digandingkan dengan Bojan Ciger di posisi pertahanan dan aksi memukau dipamerkan 'tanker' dari skuad simpanan Kedah, Alan Robertson semakin mencuti perhatian.

Alan Robertson in action during training. - Photo by KDA FC

Alan Robertson merupakan tonggak utama dalam skuad KDA FC B. — Facebook/KDAFC

Kerap diturunkan dalam kesebelasan utama di saingan Piala MFL, kekebalan pemain itu dalam mempertahankan kubu pasukan mendapat pujian ramai dengan kawalan serta larian pantas dimilikinya.

Justeru, ada pihak mula mencalonkan pemain kelahiran Afrika Selatan itu sebagai pilihan tepat untuk diserap masuk ke skuad utama KDA FC bagi membentuk gandingan mantap bersama Bojan Ciger.

Dengan ketinggian melebihi 1.80 meter dimiliki kedua-dua pemain itu, ia diyakini mampu menghasilkan kesan positif buat pasukan Hijau Kuning yang kerap kali tewas dalam perebutan bola tinggi semasa perlawanan terdahulu.

Selain itu, seorang lagi pemain yang beraksi di posisi penyerang skuad simpanan Kedah, Ebenezer Assifuah juga disebut sebagai calon terbaik untuk dimasukkan ke skuad utama.

Memiliki tindakan penyudah yang tepat dan berkebolehan membuat sepakan dari jarak jauh, menjadi kunci utama pemain berusia 29 tahun itu untuk membantu baki perjuangan Kedah di saingan Liga Super.

Berjaya menjaringkan 10 gol dalam lapan perlawanan setakat ini, menyaksikan betapa Assifuah mampu mengemudi jentera serangan Kedah di samping beberapa lagi pemain lain seperti Willian Lira, Lee Tuck dan Jonathan Balotelli. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram