[VIDEO] Polis buru suspek kes ragut bermotosikal di Bukit Sentosa


  • 112
  • Selasa, 09 Mei 2023

Tangkap layar kejadian meragut di di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

POLIS kini sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian ragut di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata pihaknya mengesan hantaran gambar dan video tular berkenaan kejadian tersebut di laman media sosial pada pukul 3 petang Selasa.

Jelas Ahmad Faisal, pihaknya turut mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan pada pukul 10.30 pagi Isnin.

"Hantaran video tersebut memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal meragut rantai leher seorang wanita berusia 39 tahun ketika mahu masuk ke pasar raya.

"Suspek dipercayai warga tempatan manakala mangsa juga warga tempatan dan bekerja di sebuah kilang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Faizal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd Rahimi Hasnawi (03-60641222).

Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 14 saat memaparkan seorang pemandu mengejar suspek di sebuah jalan raya selepas suspek meragut mangsa di depan sebuah pasar raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram