[VIDEO] Sakan 'berselfie', penunggang basikal nyaris diragut mat rempt


  • Benua
  • Rabu, 03 Mei 2023

Tangkap layar insiden ragut yang berlaku di Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta, Indonesia.

SEORANG penunggang basikal nyaris menjadi mangsa ragut apabila telefon pintarnya cuba dirampas seorang lelaki bermotosikal di Jalan Jenderal Sudirman, Jakarta, Indonesia pada Isnin.

Ketika kejadian, mangsa yang berbasikal bersama kumpulan rakannya sedang menunggang di laluan tersebut sambil merakam video dan bergambar dengan telefon pintarnya.

Namun, secara tiba-tiba dia didatangi seorang penunggang motosikal yang cuba merampas peranti tersebut dari arah belakang.

Dipercayai sudah lama mensasarkan mangsa, individu bermotosikal itu pantas menghampirinya saat dia sedang menghulurkan telefon pintarnya di bahagian kanan jalan.

Situasi itu berakhir dengan selamat apabila kegiatan ragut terbabit berjaya digagalkan sebaik mangsa pantas mengelak dalam pergelutan tersebut.

Cubaan untuk merakam wajah si pencuri menemui jalan buntu apabila si pelaku memecut laju sebaik gagal merampas telefon pintar berkenaan.

Dalam pada itu, penunggang motosikal jenis NMAX bernombor pendaftaran B 6546 FTW tersebut didakwa menggunakan nombor palsu.

Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan penunggang basikal di luar dinasihatkan untuk kekal berwaspada dalam menjalankan aktiviti walau di mana juga anda berada. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram