MALANG tidak berbau apabila seorang pegawai keselamatan maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Wisma YPR, Taman Seputeh, Kuala Lumpur pada tengah malam Khamis.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL) menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada pukul 12.54 tengah malam memaklumkan ada berlaku tanah runtuh dan seorang mangsa tertimbus.
Katanya seramai 37 anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Jalan Hang Tuah, BBP Seputeh, unit Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan unit K9 bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian pada pukul 1.05 pagi, didapati berlaku runtuhan tanah dan menghempap sebuah pondok pengawal yang berada berhampiran.
"Runtuhan tersebut telah melibatkan seorang mangsa lelaki dewasa yang merupakan pengawal keselamatan tertimbus di bawah runtuhan tanah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, pihak PGO KL memaklumkan operasi mencari mangsa yang tertimbus dilakukan oleh pasukan bomba dengan bantuan unit K9, STORM dan jentolak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, mangsa berjaya di bawa keluar pada pukul 6.23 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.
"Mangsa kemudian diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram