Pembantu kedai pusat beli belah di Kota Kinabalu maut ditikam berulang kali bekas tunang


  • 112
  • Isnin, 29 Mei 2023

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat. — Facebook/SABAHitz

SEORANG wanita maut dipercayai dibunuh bekas tunangnya di sebuah premis pusat beli-belah di Jalan Haji Saman Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 22 tahun bekerja sebagai pembantu kedai di premis berkenaan ditemui terlentang atas lantai dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditahan pasukan polis di lokasi kejadian.

"Anggota polis yang tiba di lokasi mendapati mangsa masih bernafas ketika itu dalam keadaan berlumuran darah.

"Pegawai perubatan segera memberi bantuan pernafasan, namun mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada tubuhnya," katanya pada Isnin.

Mangsa ditemui terlentang atas lantai dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya. — Facebook/SABAHitz

Kalsom memaklumkan, polis menahan seorang lelaki yang juga bekas tunang mangsa untuk siasatan lanjut dan merampas sebilah pisau, dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu," ujarnya.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Polis Khairul Shah Peri, Unit Forensik Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dan sepasukan pegawai serta anggota turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram