SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi didakwa cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pada Khamis.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan pengguna media sosial, kemalangan itu berlaku di sebuah jalan raya berdekatan Greenhill, Shah Alam, Selangor.
Kejadian itu berlaku pada pukul 8.15 pagi Khamis berdasarkan maklumat yang dikongsikan Ridzuan Sanudin.
Dalam video berdurasi 36 saat berkenaan, keadaan jalan pada waktu itu agak sesak dan sebuah kenderaan jenis Hyundai warna putih dilihat menukar laluan ke arah kiri jalan sebelum dirempuh sebuah motosikal berkuasa tinggi dari belakang.
Kejadian itu turut dirakam oleh dashcam kenderaan orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Difahamkan penunggang motosikal berkenaan tidak sempat memberhentikan motosikal dan impak daripada rempuhan itu menyebabkan penunggang motosikal tersebut terpelanting jauh ke sebelah kiri jalan.
Menjengah ke ruangan komen, seorang wanita yang dikenali sebagai NurLiyana John mendakwa penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan adik kandungnya dan kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang mendapatka rawatan di hospital.
"Salam, mangsa yang kemalangan itu adik saya dan saya mohon doakan Faeez Bin Hasni. Semoga dia selamat dan pulih.
"Adik saya dalam keadaan kritikal, kami sangat memerlukan doa anda semua. Terima kasih kepada yang membantu," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram