[VIDEO] Hospital Sultanah Aminah lagi sekali terbakar, staf dedah masalah lain


  • Tular
  • Ahad, 21 Mei 2023

Tangkap layar sebuah bangunan di HSA terbakar pada Sabtu.

TULAR satu video memaparkan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor sekali lagi terbakar dan kali ini kebakaran tersebut melibat bilik pemampat udara (compressor) bersebelahan dengan premis bangunan tersebut baru-baru ini.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan laman Twitter berita kesihatan CodeBlue memaklumkan kejadian tersebut berlaku pada pukul 9 pagi Sabtu.

Menurut kakitangan hospital tersebut yang tidak didedahkan namanya, ekoran daripada kebakaran kecil itu menyebabkan operasi dewan bedah ditutup sementara pada waktu kejadian.

Jelas kakitangan hospital itu lagi, kebakaran seperti itu bukanlah kali pertama terjadi.

"Kebakaran seperti ini terlalu kerap berlaku dan sehingga kami lali mendengarnya.

"Tidak mustahil suatu hari nanti, mereka akan menemui mayat kami dalam keadaan terbakar seperti dipanggang," katanya.

Kebakaran itu juga berjaya dikawal dan dipadamkan namun tidak dinyatakan sama ada insiden itu melibatkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Melalui video berdurasi tujuh saat yang dikongsikan oleh kakitangan hospital tersebut, kelihatan bilik berkenaan tersebut terbakar dan kepulan asap keluar daripada bilik berkenaan.

Turut kedengaran bunyi penggera kebakaran di setiap ruang premis tersebut.

Tambah kakitangan itu lagi, sebelum ini turut berlaku beberapa insiden kebakaran dan ada antaranya tidak dilaporkan secara umum oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sebelum ini, berlaku dua insiden kebakaran di HSA iaitu pada 22 Februari dan 14 Julai namun ia tidak dilaporkan secara terbuka.

"Kejadian pertama berlaku pada 28 Jun 2020 melibatkan Kompleks Wad Perubatan Perempuan yang mana pada waktu kejadian seramai 24 pesakit diselamatkan dan dipindahkan ke tempat lain.

"Pada waktu tersebut, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kebakaran itu mendapat liputan meluas.

"Pada masa sama, Dr Adham Baba yang menjawat jawatan sebagai Menteri Kesihatan pada ketika itu turut datang dan melawat tapak tersebut.

Pada masa sama, kakitangan hospital terbabit mendakwa gangguan perkhidmatan elektrik dan air di wad hospital awam utama Johor merupakan kebimbangan yang lebih besar daripada kejadian kebakaran yang sentiasa berulang.

"Kadang-kadang tiada bekalan air bersih dan terjadi gangguan bekalan elektrik. Ini adalah pusat rujukan kesihatan peringkat negeri, yang kedua paling sibuk, namun sumber yang kami terima jauh lebih teruk daripada Lembah Klang.

"Percaya atau tidak, kadang-kadang kami perlu mengumpul air terlebih dahulu.

"Gangguan bekalan elektrik kerap berlaku di HSA, kadangkala semasa prosedur pembedahan sedang dijalankan.

"Nasib baik, pembedahan sudah pun selesai, dan tiada komplikasi dan kemudaratan teruk berlaku kepada pesakit. Lampu telefon bimbit sangat membantu," luahnya kepada CodeBlue.Kakitangan perubatan HSA tersebut turut menggesa kerajaan menerbitkan laporan jawatankuasa bebas mengenai tragedi kebakaran 25 Oktober 2016 di unit rawatan rapi selatan (ICU) HSA yang mengorbankan enam pesakit, kebakaran hospital terburuk dalam sejarah Malaysia.

"Kami perlu tahu tindakan yang diambil oleh kerajaan supaya kami berasa selamat merawat pesakit dan mereka juga berasa selamat bersama kami," katanya.

Menteri kesihatan terdahulu, termasuk Menteri Kesihatan sekarang Dr Zaliha Mustafa, masih belum mengeluarkan laporan oleh jawatankuasa bebas yang dipengerusikan oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus, sejak ia diserahkan kepada KKM di bawah pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram