POLIS kini sedang mengesan penunggang motosikal yang dipercayai merempuh sebuah kereta dipandu warga emas di sebuah persimpangan dekat Batu 6, di Jalan Gombak lama, Gombak, Selangor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 2 petang Ahad.
"Pada waktu kejadian, kereta yang dipandu lelaki berusia 87 tahun berkenaan keluar daripada simpang menghala ke Gombak dari Kampung kerdas.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta yang hendak keluar dari simpang itu secara tiba-tiba dirempuh penunggang motosikal yang datang dari arah kanan.
"Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan menyebabkan kereta itu terbabas ke kiri jalan dan sekali gus menyebabkan penunggang motosikal berkenaan turut tercampak ke atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Zainal, warga emas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penunggang motosikal itu masih belum dapat dikesan.
"Kes disiasat mengikut Peraturan 3(2) (B) LN166/59439(1). Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil ke balai berdekatan atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil di talian 019-6004104 atau 03-61262222 untuk tindakan lanjut," katanya
Sejak Ahad, tular satu video memaparkan rakaman kamera litar televisyen tertutup (CCTV) memaparkan kereta bewarna biru dirempuh sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggang tersebut terpelanting ke atas jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram