[VIDEO] Penduduk mengeluh air 'kopi' keluar dari paip sinki rumah, kecam kerajaan AS sibuk biayai perang Ukraine


  • Benua
  • Rabu, 24 Mei 2023

Rakaman menunjukkan air berwarna 'kopi' keluar daripada paip sinki penduduk di Jackson, AS.

SEBUAH bandar di Amerika Syarikat (AS) kini sedang berhadapan krisis bekalan air bersih yang serius akibat daripada keadaan sistem loji rawatan airnya yang sudah uzur.

Pada Jumaat, rakaman tular mengejutkan dari bandar Jackson di Mississippi memaparkan mengenai air keruh yang keluar dari paip sebuah kediaman di kawasan tersebut yang ketika ini turut dibelenggu masalah kemiskinan.

Wartawan akhbar, Molly Minta menyiarkan video menunjukkan air berwarna coklat gelap keluar dari sinki bilik mandinya ketika notis gangguan bekalan air panas selama enam minggu dilanjutkan sehingga ke hujung minggu.

Loji rawatan air utama Jackson tidak dapat menampung hujan lebat yang disebabkan banjir di sepanjang Sungai Pearl pada bulan lepas, mempercepatkan kerosakan pada sistem bekalan airnya yang menunggu masa untuk lumpuh.

Bekalan takungan yang dibanjiri air mentah juga menyebabkan kelewatan proses rawatan sehingga mengurangkan bekalan air serta menjadi punca kepada penurunan tekanan air ke paras tidak selamat.

Beberapa pam digunakan sudah tamat tempoh sebelum kejadian banjir itu lagi menyebabkan loji berkenaan bergantung kepada pam bantuan.

mississispi

Barisan kereta penduduk yang beratur untuk mengambil air botol ekoran krisis bekalan air bersih yang melanda bandar tersebut. — Agensi

Sistem bekalan air yang sudah agak lama itu sebelumnya sudah terjejas ekoran cuaca sejuk yang membekukan paip pada musim sejuk lalu, menyebabkan ramai daripada 150,000 penduduk bandar itu tidak mempunyai bekalan air bersih.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) beberapa bulan lalu memberitahu bahawa tahap bekalan air disalurkan ke bandar Jackson melanggar Akta Air Minuman Selamat.

Pada Rabu, EPA meminta Washington, memberi bandar tersebut "bahagian yang saksama" daripada wang persekutuan untuk membina semula sistemnya di bawah Akta Pelaburan Infrastruktur dan Pekerjaan yang ditandatangani oleh Presiden, Joe Biden dan diwartakan pada musim luruh lepas.

Menurut Rumah Putih, Mississippi ditetapkan menerima AS$429 juta (RM1.9 bilion) dalam tempoh lima tahun yang diperuntukkan untuk rawatan air di bawah program infrastruktur keseluruhan bernilai AS$1 trilion (RM4.5 trilion).

Ketika krisis tersebut terus berlarutan pada minggu ini, barisan kereta penduduk beratur untuk mengambil air botol yang disumbangkan ketika restoran membawa masuk tangki air bersih dari luar bandar.

Jackson kehilangan kira-kira satu pertiga pendapatan cukainya sejak 1980 disebabkan penghijrahan penduduk kulih putih dengan satu daripada enam penduduknya hidup dalam kemiskinan.

Dalam pada itu, krisis dialami penduduk di bandar tersebut turut mengundang kritikan terhadap kerajaan AS yang dilihat lebih memberi tumpuan terhadap masalah perang di Ukraine berbanding situasi di dalam negara.

"(Hampir) AS$100 billion untuk Ukraine, tiada apa-apa untuk rakyat AS," ujar Rev Laskaris. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram