SEBANYAK tujuh ekor kucing didakwa mati ketika berada di bawah jagaan seorang individu dipercayai pendera haiwan.
Perkara mengenai insiden itu yang difahamkan berlaku pada tahun ini dikongsikan seorang pengguna Twitter yang dikenali dengan nama Balqis pada Selasa.
Menurut Balqis, kejadian tersebut hanya disedari selepas dia bersama rakannya pergi ke rumah individu berkenan yang dikenali dengan nama Nia baru-baru ini.
Katanya, keadaan kebersihan di rumah terbabit yang diduduki Nia, dipercayai terletak di sekitar Lembah Klang itu didapati sangat teruk dan tidak sesuai untuk diduduki oleh kucing peliharaan.
Tangkap layar video dikongsikan Balqis mengenai keadaan rumah tersebut yang sangat kotor dan tidak sesuai untuk diduduki oleh kucing peliharaan.
"Rumah itu penuh dengan kutu. Kucingnya baru sahaja mati akibat kutu, namun dia sedang mencari pengganti (kucing peliharaan lain). Beberapa ekor kucing mati di bawah jagaannya hanya dalam tahun ini kerana pengabaian.
"Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke dalam rumah, saya melihat ulat sampah merayap berhampiran tong sampah, makanan sudah reput di bawah sofa dan najis kucing pula berada di atas sofa. Kesan air kencing kucing juga dilihat di atas lantai.
"Memaksa kucing untuk hidup dalam keadaan seperti ini juga merupakan satu bentuk penderaan," katanya dalam ciapan tersebut.
Menerusi rantaian ciapan sama, Balqis turut berkongsikan beberapa gambar dan video memaparkan keadaan rumah tersebut yang berada dalam keadaan sangat kotor serta kucing ditinggalkan di kediaman terbabit.
Menurut Balqis, ketika masuk ke rumah berkenaan, dua kucing didapati sudah mati di sebuah sangkar diletakkan di bahagian atas rumah dengan bangkai haiwan terbabit masih tidak dikeluarkan sejak Aidilfitri.
Katanya, apabila ditanyakan mengenai hal tersebut, Nia hanya mengiyakan perkara berkenaan dan seakan-akan langsung tidak mengambil berat mengenai kematian kucing itu.
Sisa makanan yang dibiarkan terbiar di rumah berkenaan.
Balqis berkata, kucing dijaga di rumah tersebut juga dipercayai tidak diberikan makanan kerana beberapa rakan Nia yang pernah masuk ke rumah itu beberapa kali mengatakan mereka melihat mangkuk makanan haiwan tersebut kosong.
Dalam pada itu, Balqis berkata, pendedahan berkenaan dibuat bagi memberikan peringatan kepada pusat pengambilan dan pemilik kucing agar tidak menyerahkan haiwan peliharaan mereka kepada individu terbabit.
"Pergi ke pihak kebajikan sosial dan mereka berkata tidak boleh berbuat apa-apa tentang haiwan itu.
"Perhilitan boleh mengambil haiwan itu tetapi dia (Nia) masih boleh terus mengambil lebih banyak lagi (kucing peliharaan).
"Ini adalah harapan terakhir saya agar dia tidak akan diberikan lagi (kucing peliharaan). Tiada lagi kucing mati. Jangan beri kepada dia," ujar Balqis yang mengenali Nia kumpulan peminat haiwan eksotik.
Balqis berkata, Nia yang didakwa turut membela ular dan burung itu sudah pun dilarang daripada beberapa kumpulan haiwan peminat berkenaan kerana sikapnya.
"Burung pertama yang dia dapat mati selepas haiwan tersebut terbang ke kipas yang dia biarkan terbuka. Dia kemudianya membeli burung yang baru.
"Satu haiwan mati, dia akan dapat seekor lagi. Ia adalah kitaran ganas. Dia langsung tidak menyesal atau mengambil berat," kata Balqis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,