PASUKAN di tangga kesembilan Liga Super, Penang FC mahu melupakan kekecewaan yang dialami ketika tewas kepada Sri Pahang FC apabila mereka bakal berdepan Terengganu FC pada Rabu.
Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu merupakan tonik terbaik buat pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid meskipun ia bakal diadakan di tempat lawan.
Menurut pengendali sementara itu, ia bukanlah tugasan yang mudah apabila bertemu skuad Sang Penyu, namun anak-anak buahnya sudah bersedia untuk pertembungan berkenaan.
"Saya harap kita boleh beri tumpuan kepada permainan, kita tidak boleh pandang rendah kepada Terengganu FC kerana mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan berpengalaman.
"Kami akan turun dengan sebaik mungkin dan cuba atasi kelemahan di atas padang dan kami akan pastikan pemain dapat melakukan yang terbaik," kata Manzoor.
Soony (kiri) boleh dianggap sebagai wira skuad Harimau Kumbang ketika ini. — Facebook/Penang FC
Terengganu FC sebelum ini berjaya membawa pulang satu mata ketika pertembungan dengan Sabah FC di Stadium Likas, Sabah dengan keputusan masa penuh perlawanan 2-2.
Ia menyaksikan pasukan Pantai Timur itu berada di tangga kelapan dengan hanya perbezaan jaringan membezakan mereka dengan skuad Harimau Kumbang.
Mengulas mengenai kekuatan pihak lawan, Manzoor berkata, kemampuan penyerang Terengganu FC perlu diawasi, terutamanya pemain sayap kelahiran Haiti, Sony Norde.
Sementara itu, tonggak utama Penang FC, Soony Saad berharap pasukan itu tidak menunggu terlalu lama untuk kembali membawa pulang kemenangan dalam liga.
"Kami sudah buktikan kebolehan untuk melakukan gerakan balas, tetapi kami perlu mengawal bola dengan lebih baik dan menggunakan kelemahan pihak lawan demi kebaikan kita.
"Ketika ini, saya mencipta gandingan cukup baik bersama Nik Akif (Syahiran) dan Adriano (Narcizo) kerana hantaran mereka cukup berkualiti untuk saya sudahkan," kata penyerang kelahiran Lubnan itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,