Lupakan hajat stadium baharu, keadaan daif tandas 'kandang' The Rhinos lebih merisaukan


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Sabah FC membuat perancangan untuk membuat stadium baharu bagi menggantikan Stadium Likas. — Facebook/Sabah FC

SABAH FC sebelum ini mendedahkan akan membina stadium baharu yang mana ia bakal menjadi ‘rumah’ keramat terbaharu The Rhinos.

Walaupun belum ada tarikh rasmi mengenai pembinaan stadium baharu itu namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir sudah memberi bayangan mengenai ‘kandang’ baharu The Rhinos itu.

Menurut Marzuki sebelum ini, rumah baharu Sabah FC akan menjadikan Stadium Craven Cottage di Fulham dan Stadium Mongthong, Thailand sebagai rujukan untuk membina stadium berkenaan.

Stadium baharu tersebut bakal dimiliki sepenuhnya kelab berpangkalan di Borneo itu akan dibangunkan di atas tanah seluas sembilan ekar di Kota Kinabalu dengan dana sekurang-kurangnya RM50 juta.

Namun begitu, sebelum Sabah bercita-cita tinggi untuk membina fasiliti baharu, The Rhinos mendapat kritikan daripada penyokong susulan terpalit dengan isu membabitkan Stadium Likas.

Disifatkan seperti tidak berpijak di bumi yang nyata, Sabah FC dinasihatkan untuk membaiki kelemahan fasiliti sedia ada sebelum memberi fokus untuk membina stadium canggih bertaraf dunia.

Menerusi laman Facebook penyokong Sabah FC, Sabah Supporters Club, menyuarakan kekecewaan mereka mengenai keadaan tandas di Stadium Likas yang kelihatan sangat daif dan seperti tidak mencerminkan antara pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M).

WhatsApp Image 2023-05-23 at 23.39.40

Tangkap layar keadaan tandas di Stadium Likas.

Pengalaman pahit di stadium pasukan kegemaran itu dialami penyokong berkenaan ketika dia menghadiri aksi menentang Terengganu yang menyaksikan masing-masing pasukan peroleh satu mata.

“Kalau benar aduan ini harap Sabah Football Club dan Pengurusan Stadium Likas dapat atasi perkara ini.... Aduan penyokong yang hadir perlawanan Sabah FC lawan Terengganu FC.

“Hello tuan..maaf tidak tahu nak mengadu di mana. Tiada kenalan di SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) mahupun Sabah FC. Kita sayang pasukan kita tapi di masa yang sama segala kemudahan di stadium sepatutnya bagus dan berbaloi. Lagipun bukan datang percuma.

"Agak kecewa semasa lawan Terengganu, saya duduk di tempat duduk PT Zone bersama penyokong pelawat tapi bila mahu cari tandas..dari enam pintu cuma satu buka..itu pun lelaki dan perempuan masuk. Tiada lampu tiada air lagi..adoii..pelik juga..pengurusan tidak pikir ke orang mahu buang air kecil atau besar..then pasal keselamatan pula dalam tandas..tidak difikir ke?,” luahnya.

Tidak banyak yang diharapkan dari penyokong tersebut, dia berharap agar pengurusan SAFA akan menyediakan fasiliti terbaik terutamanya apabila The Rhinos menghadapi kejohanan bola sepak berprestij di Asia iaitu saingan Piala AFC.

Majoriti cuba untuk mendapat komen daripada pihak pengurusan Sabah FC berhubung kekecewaan penyokong berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram