'Beri saguhati kepada Ahli Lembaga AKSB tanda hargai kerja itu normal', Pemuda Pas Kelantan gesa siasat kebocoran dokumen


  • Primer
  • Rabu, 24 Mei 2023

Isu air kotor di beberapa kawasan di Kelantan masih tidak selesai. — Gambar hiasan

PEMBERIAN saguhati setahun sekali kepada Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak pengurusan adalah prosedur biasa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed mengulas tentang dokumen sulit AKSB yang tersebar dalam media sosial pada Selasa berkenaan pemberian saguhati kepada saguhati kepada Ahli Lembaga Pengarah, kakitangan dan setiausaha syarikat.

Menurutnya, sebahagian besar lantikan Ahli Lembaga Pengarah AKSB iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti.

"Soal perbandingan dengan jumlah kepada kakitangan, pada saya, ia tidak berbangkit kerana sebelum perkara ini tular, langkah penambahbaikan telah dibuat oleh pengurusan AKSB untuk kebajikan kakitangan bagi menghadapi hari raya seperti penjawat awam yang lain.

"Jikalah orang Pas sejahat mereka yang menyebarkan dokumen sulit dan berniat memburukkan kerajaan, boleh sahaja didedahkan bayaran-bayaran sekali bayar bersifat setahun sekali kepada Ahli Lembaga Pengarah GLC Persekutuan yang bukan sedikit juga jumlahnya termasuk syarikat air negeri-negeri," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Baca lagi: https://majoriti.com.my/berita/2023/05/23/ada-terima-durian-runtuh-lebih-rm10000-seorang-kecoh-duit-raya-staf-air-kelantan-039double-standard039-tapi-isu-air-kotor-masih-tak-selesai

Dalam pada itu, Mohamad Kamal mencadangkan agar AKSB menyiasat kebocoran dokumen sulit dalam kalangan kakitangan dan membawa orang yang mencanangkan prosedur dalaman kepada hebahan awam dengan niat secara tidak baik kepada pihak pengadilan.

Katanya, dokumen bertahap sulit dan hanya boleh dicapai oleh segolongan orang tertentu sahaja, namun telah disebar secara tidak wajar untuk tujuan memberikan persepsi negatif terhadap AKSB.

Majoriti pada Selasa melaporkan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dipercayai menerima pemberian sagu hati berupa wang ringgit pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

Ia susulan perkongsian tular di Facebook @AnakKelantan yang memaparkan surat cadangan pemberian sagu hati Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan syarikat berkenaan.

Mendapat kelulusan AKSB, setiap ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit difahamkan menerima sebanyak RM10,000 sempena perayaan Aidilfitri tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram