Legenda filem Melayu, Wahid Satay meninggal dunia


  • Hiburan
  • Isnin, 22 Mei 2023

Wahid Satay meninggal dunia pada kira-kira pukul 8 pagi di Singapura dan akan dikebumikan di Pusara Aman, Singapura pada pukul 1 petang.

PENYANYI dan pelakon filem Melayu Singapura legenda, Abdul Wahid Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Wahid Satay meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi pada Isnin.

Perkhabaran tersebut tersebar di media sosial memaklumkan seniman tersebut menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada usia 93 tahun.

Pelawak dan pengacara Singapura, Khairudin Samsudin menerusi satu hantaran di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergiaan seniman yang disegani negara itu.

"Menerima berita duka, berpulangnya seorang legenda filem yg saya hormati dan kasihi Pak Wahid Satay. Salam takziah kepada keluarga.

"Sama-sama kita bedoa semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Pak Wahid Satay serta ditempatkan dalam kalangan mereka yg beramal soleh lagi beriman," katanya pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Razif Hamir menerusi akaun Facebook memaklumkan jenazah Wahid Satay akan dibawa ke Pusara Aman, Singapura pada pukul 1 petang untuk dimandikan dan dikebumi di lokasi tersebut.

Wahid Satay dilahirkan di Singapura pada 1935 dan bekerja sebagai kelasi kapal pada usia 16 tahun sebelum berkecimpung dalam dunia lakonan.

Allahyarham pernah memegang watak penting dalam beberapa filem seperti Pontianak (1957), Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tumpul (1960), Badang (1962), Naga Tasik Chini (1966), Dendang Perantau (1979) dan Tuan Besar (1980). Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram