SEBUAH lori yang dipandu secara laju dan berbahaya telah melanggar seorang penunggang motosikal dalam kemalangan dipercayai berlaku di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berdekatan Plaza Tol Penchala, Kuala Lumpur.
Video mengenai insiden tersebut yang difahamkan berlaku pada Jumaat itu kini tular sejak pagi Sabtu.
Menerusi rakaman dari papan pemuka (dashcam) kenderaan di lokasi kejadian, lori berkenaan dilihat dipandu secara laju dengan bergerak dari lorong tengah lebuh raya tersebut sebelum ke kiri bagi memotong.
Tindakan pemandu lori itu yang memotong dari lorong kiri menyebabkan ia melanggar sebuah motosikal ditunggang seorang individu yang berada di laluan berkenaan.
Mangsa dilihat terjatuh ke pembahagi kiri lebuh raya terbabit.
Mangsa yang terjatuh ke pembahagi kiri jalan itu dilihat nyaris digilis oleh lori tersebut dengan motosikalnya didapati terpelanting hingga ke lorong tengah lebuh raya tersebut.
Lori berkenaan dilihat kemudiannya memperlahankan kenderaannya tidak jauh dari lokasi kejadian.
Maklumat mengenai keadaan mangsa bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Dalam pada itu, pengguna di sosial media rata-ratanya melahirkan kemarahan mereka ekoran dariapda insiden berkenaan.
"Bawa lori macam nak membunuh. Semoga rider baik-baik sahaja," tulis Aidan Ahmad.
"Memang takde akal betul bawa lori macam tu. Membahayakan nyawa orang lain," ujar Fauzan Hadi.
"Nampak lori tu betul-betul menghimpit ke kiri," kata MDhafiz Jerr.
"Sampai gitu sekali kejar trip," ujar Karim Maju.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram