KEGEMBIRAAN sebuah keluarga menyambut hari raya bertukar dengan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah motosikal di Segamat, Johor pada Ahad.
Video kemalangan itu turut tular dan dimuat naik di laman Facebook Update Info pada hari yang sama.
"Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kemalangan di Kampung Sermin, Segamat petang tadi. Masih belum pasti keadaan penunggang motosikal," tulisnya.
Maklumat awal mendapati kemalangan tersebut berlaku di Kampung Sermin, Jalan Jabi - Bukit Tempurung, Segamat, Johor.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pada pukul 3.03 petang Ahad berdasarkan maklumat yang dipaparkan dashcam berkenaan.
Pada waktu kejadian, keluarga tersebut dalam perjalanan untuk berziarah ke rumah ahli keluarganya.
Jalan yang dilalui pada ketika itu juga agak lengang sebelum sebuah motosikal yang dinaiki seorang lelaki dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke arah laluan mereka secara tiba-tiba ketika melalui selekoh di kawasan tersebut.
Kemalangan tersebut menyebabkan penumpang kenderaan berkenaan menjadi panik dan menjerit ketakutan.
"Ya ALLAH, ya ALLAH. Dia 'makan' jalan," jeritnya.
Impak perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal berkenaan jatuh ke jalan raya.
Pemandu juga dilihat mengundurkan kenderaannya bagi memastikan keadaan penunggang tersebut.
Pada masa yang sama, penunggang yang terbaring itu dilihat cuba bangun namun gagal dan hanya mampu terbaring kesakitan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mempunyai reaksi yang berbeza melihat video tular tersebut.
Seorang pengguna media sosial, Sue Salleh berasakan kemalangan itu berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal itu sendiri.
"Jalan kampung, jangan nak 'corner baring'. Expect the unexpected. Lagi-lagi blindspot.
Azli Azli pula berpendapat pemandu terbabit bernasib baik kerana memasang dashcam di keretanya yang boleh digunakan sebagai bukti.
"Nasib ada dashcam, boleh dijadikan bukti," tulisnya.
Pendapat Azli itu turut dipersetujui oleh Syafiq Aaman.
"Ada dashcam sebagai bukti, kalau tidak susah nak jawab kes ini. Budak motor itu pun, jangan la 'corner baring' macam itu. Dah tak pasal-pasal raya hospital,"katanya.
Setakat berita ini ditulis, tidak dapat dipastikan keadaan penunggang motosikal tersebut dan belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram