[VIDEO] 'Saya nak dia minta maaf', rider patah bahu bengang pemandu kereta lari selepas belok tanpa 'signal' di PJ


  • Tular
  • Khamis, 11 Mei 2023

Tangkap layar insiden kemalangan itu yang berlaku di persimpangan lampu isyarat berdekatan SS2, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

SEORANG pemandu kenderaan bertindak melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat berdekatan SS2, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Dalam kejadian sekitar pukul 7.50 pagi itu, kereta jenis Proton Satria berada di lorong kiri jalan dilihat tidak memberi lampu isyarat bagi membelok ke kanan ketika tiba di persimpangan tersebut.

Ia menyebabkan motosikal yang berada di tengah-tengah jalan itu bergesel dengan kereta tersebut sebelum terbabas ke tembok pembahagi jalan.

Insiden tular menerusi rakaman video daripada kamera papan oleh sebuah kenderaan yang berada di lokasi kejadian.

Mangsa penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan itu, Muhamad Norhisyam Ghazali, 34, berkata, dia tidak menyangka kereta tersebut mahu membelok kerana kenderaan itu berada di lorong arah terus.

"Dia dengan keadaan tidak beri signal nak masuk ke kanan, saya fikir dia nak terus. Saya pun dah rapat memang tak boleh buat apa walaupun masa itu bawa tak laju," katanya kepada Majoriti.

Ekoran insiden itu, Muhamad Norhisyam yang juga seorang juruteknik mengalami kecederaan patah bahu.

Katanya, pemandu kenderaan tersebut yang merupakan seorang pemuda hanya bertanyakan keadaannya secara ringkas sebelum segera meninggalkan lokasi tanpa meninggalkan sebarang maklumat.

"Bila saya jatuh itu, saya jadi blur. Saya tak boleh nak bangun masa mula-mula kena sebab dada saya sakit. Dia ada tanya, saya ok ke. Saya cakap waktu tu nak hubungi kenalan dahulu untuk bantu saya bawa pergi dapatkan rawatan.

"Lepas je saya habis call, dia terus gerak tanpa bagi sebarang maklumat atau nombor telefon," katanya yang sudah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, selepas kejadian.

Muhamad Norhisyam berkata, dia berhasrat membuat laporan polis susulan insiden berkenaan.

Pada masa sama, dia turut berharap agar pemandu terbabit tampil untuk bertanggungjawab terhadap kemalangan yang berlaku itu.

"Saya tak minta banyak, saya minta dia datang jumpa saya minta maaf dan kita bincang cara baik. Janganlah biarkan macam itu. Kalau jadi pada dirinya apa yang dia akan buat," katanya yang tinggal di Shah Alam, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram