IBU Pejabat Polis Daerah Rembau mengesahkan menerima laporan yang dibuat berhubung satu video tular memaparkan sekumpulan individu menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Km222.8 arah Utara dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad memaklumkan, seorang penunggang motosikal, Muhammad Alif Danial Muhamad Zamri, 22, disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di beberapa bahagian badan.
"Mayatnya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.
"Siasatan awal mendapati mangsa bersama empat rakan menunggang motosikal dari arah Ayer Keroh menghala ke Senawang, Negeri Sembilan.
"Namun sampai di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan seterusnya melanggar bahagian belakang sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Nissan Almera.
"Akibat perlanggaran, mangsa tercampak ke dalam longkang bahagian kiri manakala rakan-rakannya yang mengekori rapat juga hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan ketika cuba mengelak mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Hazri, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu membabitkan lapan kenderaan iaitu lima motosikal dan tiga kereta.
"Tiga orang pemandu kereta tidak mengalami kecederaan, manakala empat penunggang motosikal mengalami kecederaan yang pelbagai," jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
"Pihak polis memohon kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat, Inspektor Sarah Ismail di talian 013-979 5680 atau Bilik Gerakan IPD Rembau di talian 06-6851999," katanya.
Majoriti sebelum ini melaporkan, kemalangan ngeri tersebut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam di lokasi kejadian dan dikongsikan seorang individu di aplikasi Telegram Info Semasa Official pada Ahad.
Dalam video berdurasi 45 saat berkenaan memaparkan pemandu kenderaan tersebut memandu di lebuh raya yang lengang dan gelap sebelum kenderaannya dipotong oleh sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal.
Lebih mengejutkan lagi, sekumpulan 'mat rempit' itu turut menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi ala 'Superman'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram