Gaya tanpa sempadan, siapa selebriti negara tersenarai 'carta fesyen pelik'  


  • Hiburan
  • Selasa, 24 Jan 2023

Watak adiwira antara yang dikaitkan dengan fesyen 'pelik' artis termasuk kreativiti luar biasa pereka dan artis.

KEHADIRAN kontroversi dan cerita panas bagaikan rencah yang menghangatkan industri hiburan tidak kira sama ada dalam negara mahupun antarabangsa.

Pelbagai kisah seperti kerjaya, peribadi mahupun gaya penampilan membuatkan selebriti atau personaliti itu berjaya mencuri perhatian.

Pemilihan gaya dan konsep fesyen yang cuba ditonjolkan juga mampu menjadi perkara menarik untuk dibahas.

Justeru Majoriti senaraikan personaliti yang penampilannya pernah dan tetap menjadi buah mulut peminat sehingga ke hari ini.

Datuk Seri Vida

majoriti2023 (2)

Populariti selebriti dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida membuatkan dirinya berada dalam ‘senarai wajib’ sama ada sesuatu yang baik mahupun sebaliknya. Yang pasti Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman tetap berjaya mencuri tumpuan.

Penampilannya saat hadir ke majlis anugerah mahupun acara rasmi boleh dijadikan sebagai bahan cerita.

Begitu juga saat dia tampil dalam video muzik Ku Ikhlaskan yang dikatakan cuba meniru penampilan penyanyi, Aina Abdul. Penampilan gaya unik, tudung berbentuk hati rona merah dengan padanan gaun corak kotak berwarna hitam putih dan mahkota kecil di kepala. Boleh dikatakan setiap gaya yang ditonjolkan dalam video muzik tersebut boleh diklasifikasikan dalam ‘carta fesyen pelik’.

Bagaimanapun itu bukan cerminan bahawa Vida sentias tampil begitu di depan khalayak. Ini kerana busana yang disarungnya pernah mendapat pujian ketika dia hadir sebuah majlis perkahwinan. Gaun polos berwarna pastel itu membuatkan dirinya kelihatan sederhana dan menawan.

Didie Alias

majoriti2023 (5)

Pelakon serba boleh, Didie Alias terkenal dengan gelaran Lady Gaga Malaysia apabila dia kerap muncul dengan penampilan luar biasa terutama di majlis anugerah.

Siapa sangka, gaya sebegitu membuatkan peminat sering tidak sabar menantikan kemunculan Didie semata-mata untuk melihat apakah konsep dan penampilannya.

Tidak terkecuali apabila dia kini menjadi salah seorang juri program nyanyian Masked Singer musim ketiga. Setiap minggu, Didie tampil dengan gaya berbeza dan luar biasa.

Kilafairy

majoriti2023 (3)

Selebriti jelita, Kilafairy yang juga anak kepada penyanyi popular era 1990-an, Rohana Jalil, juga pernah menjadi buah mulat khalayak apabila muncul mengenakan jumpsuit corak ular sawa. Bukan sahaja pemilihan corak yang menjadi perhatian, tetapi disebabkan pakaian itu dikatakan terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.

Bagaimanapun, setelah mengenakan hijab sekitar 2020, pemilik nama Syakila Nisha Jahangir Khan kini tampil dengan lebih sopan dan bersahaja. Pesona Kila yang tampil bertudung kelihatan anggun dan mempesona.

Neelofa

majoriti2023 (1)

Personaliti dan usahawan popular, Neelofa juga pernah menjadi buah mulut orang apabila fesyen Power Rangers Pink dikatakan agak keterlaluan. Peristiwa yang berlaku sekitar 2014 itu membuatkan ibu kepada seorang cahaya mata itu mendapat pelbagai kecaman daripada pengguna media sosial.

Setelah masa silih berganti, penampilan Neelofa masih lagi diperkatakan meskipun tuan badan sudah bertudung dan berniqab. Tidak kurang juga yang memberikan pujian yang mengatakan Neelofa lebih manis dengan gaya sekarang iaitu memilih untuk bertudung, mengenakan niqab dan busana yang tidak terlalu ketat.

Erry Putra

majoriti2023 (4)

Tidak hanya wanita, bahkan artis lelaki turut mendapat perhatian ‘tentera bawang’ di media sosial.

Pelakon Erry Putra yang berusaha untuk tampil dengan gaya berbeza apabila memilih untuk menghasilkan baju Melayu dengan mantel (cape).

Pakaian ala adiwira, Thor dan Superman itu tentu sahaja membuatkan mulut peminat ternganga dan tertanya-tanya tentang fungsi mantel tersebut yang dikatakan boleh dijadikan sebagai sejadah.

Aina Abdul

majoriti2023 (6)

Sebut sahaja nama penyanyi ini, perkara pertama yang mungkin terlintas di fikiran ialah tentang keunikan fesyen dan kehebatan vokal.

Boleh dikatakan Aina sentiasa tampil dengan gaya di luar kotak dan membuatkan dirinya menjadi topik utama lebih-lebih lagi saat dirinya membuat persembahan pentas atau muncul di sebarang acara.

Biarpun tindakan itu mengundang pelbagai kecaman, namun tidak dinafikan pilihan fesyen Aina secara tidak langsung menghidupkan kreativiti dan idea baharu dalam kalangan selebriti dan pereka.

Keberaniannya dalam menggayakan busana unik itu juga patut dipuji dan tidak salah untuk bergaya sakan sekali-sekala.

Datuk AC Mizal

majoriti2023 (7)

Bintang serba boleh, Datuk AC Mizal juga antara selebriti yang mencuri perhatian peminat. Bukan sahala lontaran lelucon, tetapi penampilan dan fesyen luar biasanya.

Kreativiti dan idea fesyen yang dipamerkan memberi nafas baharu kepada industri. Pilihan sut berwarna terang seperti merah dan kuning antara tindakan berani pelakon yang terkenal dengan drama rantaian Gerak Khas itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram