[VIDEO] Padah buat aksi 'Superman', sekumpulan mat rempit 'bersepai' di Lebuh Raya PLUS


  • Tular
  • Ahad, 21 Mei 2023

Tangkap layar sekumpulan mat rempit memotong sebuah kenderaan sebelum terlibat kemalangan di Lebuh Raya PLUS pada Ahad.

KONVOI sekumpulan motosikal berakhir tragedi apabila mereka terlibat dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangi didakwa hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), Km222.8 arah Utara dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.

Melalui perkongsian seorang individu di aplikasi Telegram Info Semasa Official kejadian tersebut berlaku pada pukul 4 pagi Ahad.

Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam di lokasi kejadian.

Dalam video berdurasi 45 saat berkenaan memaparkan pemandu kenderaan tersebut memandu di lebuh raya yang lengang dan gelap sebelum kenderaannya dipotong oleh sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal.

Lebih mengejutkan lagi, sekumpulan 'mat rempit' itu turut menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dengan bersaing sesama sendiri dan melakukan aksi ala 'Superman'.

Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila salah seorang daripada kumpulan tersebut hilang kawalan lalu merempuh kenderaan lain.

Impak daripada rempuhan tersebut turut menyebabkan penunggang motosikal yang lain turut terlibat dalam kemalangan.

Menjengah ke ruangan komen Faizzz mendakwa salah seorang daripada sekumpulan penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan.

"Rempit yang langgar kereta itu cedera parah, bayangkan tengah syok 'Superman' layan angin di bumi tiba-tiba kau di alam lain. Bertaubatlah, ingat pada mak di rumah," katanya.

"Ini bukan konvoi motosikal, ini merempit. Nak kesian tetapi penyakit cari sendiri. harap-harap yang kemalangan itu tak teruk," kata Rashid.

Sementara itu, Affan pula meninggalkan komen sinis selepas melihat video berkenaan.

"Ini bukan aksi 'Superman' tetapi 'Suparman', bersepai semuanya. Nyawa ada satu dik. Tayar motosikal pecah boleh ganti, nyawa ada satu," tulisnya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan oleh pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram