Tiga beradik antara 4 maut kereta terbakar rempuh lori tanah di PLUS Kampar


  • 112
  • Selasa, 16 Mei 2023

Dua buah kenderaan terlibat dalam kemalangan di KM310.2 dekat Lebuhraya Plus arah selatan awal pagi Selasa. — Ihsan Bomba

TIGA beradik dan seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tanah dan Proton Saga di KM310.2 dekat Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Kampar, Perak pada awal pagi Selasa.

Mangsa yang maut ialah Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5; Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Muhammad Azib Nasaruddin, 23, serta seorang wanita Azriyani Abdul Latif, 45.

Seorang lagi penumpang dalam kereta itu, Muhammad Fawwaz Nasaruddin, 7, iaitu adik-beradik kepada mangsa maut, cedera parah manakala pemandu lori dilaporkan selamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihak bomba menerima panggilan kira-kira pukul 2 pagi berhubung insiden itu.

Mohamadul Ehsan berkata, Proton Saga itu telah melanggar bahagian belakang lori muatan tanah dan terbakar di bahagian bonet kenderaan.

"Empat mangsa telah disahkan maut oleh pegawai Kementerian Kesihatan manakala seorang mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar, Perak oleh pasukan kecemasan EMRS.

"Terdapat mangsa yang maut telah melecur di beberapa anggota badan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram