[VIDEO] Lelaki miliki 13 rekod jenayah mati ditembak 4 kali dekat Balai Polis Sungai Jarom


  • Tular
  • Jumaat, 19 Mei 2023

Tangkap layar keadaan seorang lelaki dipercayai mangsa terbaring di atas jalan raya, Telok Panglima Garang,

TULAR klip video memaparkan satu kejadian tembakan difahamkan berlaku di Banting, Selangor pada Khamis malam.

Video berdurasi 15 saat yang dikongsikan di Twitter pada Jumaat itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai mangsa terbaring di bahu jalan dan diletakkan bersebelahan kereta peronda polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang anggota sukarelawan polis berhubung kejadian kes tembakan yang berlaku berhampiran Balai Polis Sungai Jarom, Kuala Langat sekitar jam 11.30 malam Khamis.

Menurutnya, pengadu yang sedang bertugas sentri di kawasan balai polis berkenaan mendengar beberapa letupan yang kuat di kawasan sekitar dan bergegas menuju ke lokasi kejadian.

"Pengadu mendapati seorang lelaki warga tempatan sedang terbaring kaku di bahu jalan dalam keadaan berdarah.

"Hasil siasatan polis, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan, berumur 39 tahun dan mempunyai 13 rekod lampau bagi pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Ujarnya, pihak Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang telah hadir dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di bahagian kepala.

"Unit kontinjen Selangor hadir dan menjumpai lima kelongsong peluru di kawasan sekitar tempat kejadian.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat empat kesan tembakan ke atas mangsa.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

"Pihak polis sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek dan menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat dan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram