MEMANDU secara berbahaya persis polis Amerika, sebuah lori bertindak menghimpit sebuah kereta sehingga melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Kuantan, Pahang pada Rabu.
Kejadian tersebut dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan sebuah lori yang memandu di kanan jalan, manakala kereta tersebut berada di lorong kiri dalam arah sama.
Video berdurasi 50 saat itu kemudiannya menunjukkan lori terbabit bertindak melanggar bahagian belakang kereta dan menyebabkan kereta tersebut hilang kawalan.
Kereta tersebut kemudiannya terlanggar pembahagi jalan, lalu terbalik.
Insiden berkenaan turut mendapat perhatian warganet yang berang terhadap cara pemanduan pemandu lori itu sehingga menyebabkan kemalangan orang lain, malah turut memetik nama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu ciapan di Twitter.
"Kalau macam ini gaya bawa lori lepas itu kalau orang lain yang mati, eloklah buat hukuman gantung sampai mati.
"Bawa kenderaan secara melulu, sampai org yg tak bersalah jadi mangsa. Kalau tiada yang mati, hukuman penjara seumur hidup pun okay. Orang macam ini tidak boleh duduk dalam masyarakat," kata @adzakael.
@Cendolmedia pula mendakwa penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik Malaysia masih lemah, di samping amalan merasuah yang berleluasa.
"Penguatkuasaan JPJ dan polis trafik Malaysia sangat sangat sangat lemah, dicampur pula dengan korupsi. Pemandu lori sudah tidak peduli atau tak takut dengan penguat kuasa.
"Belum masuk lagi pemandu dari kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tiada lesen dan insurans," katanya.
Sementara itu, Anthony Loke masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram