[VIDEO] Pemilik kereta terbakar rupanya baru tukar kompresor 'aircond' terpakai, akui masih trauma


  • Tular
  • Khamis, 18 Mei 2023

Tangkap layar insiden kebakaran sebuah kereta yang dikhabarkan baru sahaja dipandu pulang dari sebuah bengkel.

SEORANG wanita berhadapan detik cemas apabila keretanya rentung dijilat api ketika berada di ruang parkir kediaman rumahnya di Klang, Selangor pada Selasa.

Difahamkan, kereta itu baru sahaja dipandu pulang dari sebuah bengkel sebelum ia meletup dan terbakar secara tiba-tiba.

Terkejut dengan insiden tersebut, pemiliknya, Syazani Harun masih trauma dan buntu dengan kejadian terbabit yang sekali gus mengakibatkan kerugian buat dirinya.

Dikongsikan di laman Facebook, Syazani turut memohon bantuan ramai berkenaan ganti rugi insurans serta tindakan yang patut diambil.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan dan belum ada maklumat dikongsikan daripada pihak bomba serta forensik setakat ini.

"Saya tukar kompresor penghawa dingin di bengkel tapi mekanik itu kata ia barangan terpakai, jadi saya tak tahu nak tuntut macam mana.

"Saya risau dan trauma juga kalau ada kemalangan jiwa melibatkan keluarga dan jiran di kawasan rumah. Cuma sekarang buntu untuk dapatkan tuntutan," ujarnya kepada Majoriti.

Di ruangan komen rata-ratanya mendesak agar wanita berkenaan menyaman pihak bengkel tersebut sebagai punca utama insiden terbabit namun, Syazani masih dalam pertimbangan untuk membuat keputusan berhubung hal itu.

Belum membuat sebarang tindakan setakat ini, pemilik kenderaan itu kini mahu menunggu laporan penuh daripada pihak bomba berkaitan punca kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram