TIGA kritikal manakala enam lagi cedera apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh gerai nasi lemak di Jalan Hospital dekat Taman Suria Jitra, Kedah pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira 8.25 pagi Jumaat itu turut melibatkan tiga buah kenderaan lain dan enam motosikal yang berada berhampiran gerai terbabit.
"Siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Satria itu terbabas dan melanggar kereta lain diletakkan di tepi jalan sebelum merempuh orang ramai yang sedang beratur di hadapan gerai nasi lemak berkenaan.
"Sembilan individu cedera dengan tiga daripada mereka kritikal termasuk pasangan suami isteri yang menjual nasi lemak di gerai itu. Mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Rodzi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu dan mengambil keterangan beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian.
"Pemandu kereta berkenaan juga didapati tiada lesen memandu dan cukai jalan serta insurans kenderaan itu juga tamat tempoh,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.56 pagi Jumaat.
"Sebuah jentera serta van perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra dikerah ke lokasi kejadian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram