HASRAT seorang wanita untuk menjamu selera di salah sebuah kedai makan di Pasir Mas, Kelantan terbantut selepas melihat deretan makanan yang disediakan di premis kedai tersebut dipenuhi dengan lalat pada Rabu.
Melalui video yang dimuat naik di laman TikTok @Izzmida_, mendakwa premis berkenaan tidak menjaga kebersihan kedainya walaupun menyedari kehadiran lalat tersebut.
"Tolong jaga kebersihan. Ya ALLAH sumpah geli nak mati.
"Macam mana berniaga seperti ini, makanan semua tidak ditutup dengan elok. Selamba pekerja dia buat tak tahu.
"Berbahaya kepada pelanggan yang order (pesan) sup ini," katanya.
Menerusi video berdurasi sembilan saat itu, kelihatan jelas lauk yang diletakkan di rak khas di kedai makan berkenaan dipenuhi dengan lalat.
Menurut wanita berkenaan, tujuan dia merakam video tersebut untuk memberi amaran kepada orang awam yang ingin datang ke premis tersebut.
Namun begitu, tidak dinyatakan nama premis berkenaan dan wanita tersebut hanya memberitahu kedai makan tersebut terletak di Pasir Mas, Kelantan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi selepas video tersebut.
Seorang pengguna TikTok Inspektor Mazlan berharap agar wanita berkenaan membuat laporan pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Terus hantar video pada KKM. Kotor melampau sangat ini. Lalat hijau selalunya ada di tempat busuk macam najis," tulisnya.
Ahmad_Albab berasakan pemilik kedai makan berkenaan tidak mempunyai kesedaran sivik dan hanya memikirkan keuntungan."Salah pemilik kedai ini, hanya tahu fikir keuntungan tapi kebersihan tak nak jaga.
" Aku pula kembang tekak nak makan selepas video ini. Kalau jumpa pemilik kedai ini, memang aku maki," katanya.
Sementara itu, kambingalfonso pula meninggalkan komen yang sinis.
"Bersangka baik. Mungkin ruangan rak makanan itu bukan untuk dijual tetapi tempat khas untuk lalat.
"Kedai ini mesra binatang, sekali dengan pemilik perangai sama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram