RAKAMAN tular memaparkan seorang wanita ditendang dan dipukul oleh lelaki dipercayai suaminya mengundang pelbagai reaksi warga maya baru-baru ini.
Manakan tidak, kejadian itu berlaku di kawasan terbuka dan menarik perhatian ramai.
Melalui maklumat yang dikongsikan oleh pemilik akaun TikTok @md.azwan01, kejadian itu berlaku pada Ahad di salah sebuah kawasan flat perumahan di Desa Tebrau, Johor Bahru, Johor.
Dalam video berdurasi 15 minit tersebut, kelihatan kedua-dua individu berkenaan bergaduh mulut sebelum lelaki itu bertindak menendang dan memukul isterinya.
Pada masa sama, wanita itu juga dilihat membaling sebuah objek ke arah lelaki tersebut.
Pergaduhan itu turut diperhatikan seorang lelaki dipercayai rakan kepada perakam video berkenaan yang melihat kejadian itu di luar tembok kawasan tersebut.
Namun begitu, tidak dinyatakan punca pergaduhan pasangan berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyelar tindakan lelaki tersebut.
"Lelaki dayus, pukul wanita di khalayak ramai. Kalau berani masuk pertandingan boxing," kata Amira^^.
"Lain macam gaduh couple (pasangan) ini. Bayangkan kalau family (keluarga) dia tengok, sedih weh tetapi sendiri pilih kehidupan seperti itu," tulis hafis Zaidi91 pula.
Sementara itu, Hisham0807 berpendapat wanita berkenaan sepatutnya beredar daripada tempat berkenaan dan terus membuat laporan polis.
"Perempuan itu sepatutnya tinggalkan sahaja lelaki itu dan buat laporan polis. Keganasan rumah tangga.
"Bayangkan di tempat awam pun dia berani, apatah lagi di rumah. Banyak sudah kes macam ini terjadi. Cegah sebelum terlambat," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram