![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2023/05/19/2080703.jpeg)
BARU-baru ini seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dilaporkan putus tiga jari selepas tangan kirinya tersepit pada mesin pembungkusan air di sebuah restoran kambing bakar di Puncak Alam, Selangor.
Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, setelah melakukan pemantauan, pihaknya mendapati premis tersebut tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan sepenuhnya.
"Malah tanda larangan di bahagian dapur untuk orang awam memasuki ruangan tersebut juga tidak diletakkan," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.
Menurut beliau, selepas pemeriksaan dibuat pada 17 Mei lalu, MPKS telah mengeluarkan empat kompaun dan satu notis kepada pemilik premis.
Ujarnya, selain tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan, restoran itu juga masih belum mempunyai kelulusan lesen daripada MPKS.
Justeru, pengusaha berkenaan diarahkan untuk memberhentikan aktiviti perniagaan sehingga kelulusan diperolehi.
"Restoran tersebut beroperasi tanpa lesen dan pemilik dalam proses permohonan untuk mendapatkan lesen daripada pihak majlis.
"Kami telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan kompaun dan notis berhenti niaga supaya memberhentikan aktiviti perniagaan dalam tempoh tiga hari sehingga kelulusan lesen diperolehi (bermula 17 hingga 19 Mei 2023)," jelasnya.
Mangsa ketika menerima rawatan di Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam, Selangor.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan, kejadian kanak-kanak perempuan, Nur Iman Damia yang terputus tiga jari itu berlaku pada 29 April kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa bersama keluarga sedang menikmati hidangan di premis tersebut.
Ibu mangsa, Roziana Abd Rasif, 40, berkata, Nur Iman menemani adiknya yang berusia tujuh tahun mendapatkan bantuan pekerja restoran untuk membungkuskan beberapa minuman yang tidak habis.
"Tidak lama kemudian, dia datang dekat saya dalam keadaan menangis. Saya pun tolehlah tanya kenapa menangis. Sekali dia tunjuk jari dia, saya tengok dah putus," katanya.
Dalam insiden tersebut, tiga jari tangan kiri mangsa yang putus adalah jari tengah, manis dan kelingking. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram