Tragis! Budak 8 tahun putus 3 jari 'dipotong' mesin bungkus air di restoran tanpa lesen di Puncak Alam


  • Massa
  • Khamis, 18 Mei 2023

Mangsa menerima rawatan di Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam, Selangor.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun putus tiga jari selepas tangan kirinya tersepit pada mesin pembungkusan air di sebuah restoran kambing bakar di Puncak Alam, Selangor pada 29 April lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa bersama keluarga sedang menikmati hidangan di premis tersebut.

Ibu mangsa, Roziana Abd Rasif, 40, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika Nur Iman Damia Mohd Nazri menemani adiknya yang berusia tujuh tahun bagi mendapatkan bantuan pekerja restoran untuk membungkuskan beberapa minuman yang tidak habis.

"Tidak lama kemudian, dia datang dekat saya dalam keadaan menangis. Saya pun tolehlah tanya kenapa menangis. Sekali dia tunjuk jari dia, saya tengok dah putus," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-05-17 at 8.44.42 PM

Pekerja restoran terbabit menunjukkan mesin pembungkus air yang menyebabkan kemalangan sehingga tiga jari mangsa putus.

Dalam insiden tersebut, tiga jari tangan kiri mangsa yang putus adalah jari tengah, manis dan kelingking.

Roziana berkata, dia tidak menyangka kemalangan tersebut boleh berlaku memandangkan anaknya sudah dipesan untuk meminta bantuan pekerja di restoran berkenaan bagi membungkus minuman berkenaan.

Susulan kejadian itu, dia segera meminta salah seorang anak lelakinya untuk mengambil ketiga-tiga jari mangsa yang terputus itu dan segera membawa anaknya ke Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam untuk mendapatkan rawatan.

Roziana memaklumkan doktor memberitahunya bahawa hanya jari tengah Nur Iman yang boleh disambung semula.

Dalam pada itu, Roziana yang menetap di Tanjong Karang, Selangor mendakwa kemalangan tersebut berlaku ekoran kecuaian pekerja restoran berkenaan,

"Selepas kejadian itu, saya memang ada bertanya pekerja itu kenapa suruh anak saya buat (bungkus air guna mesin). Dia cuma cakap yang dia dah suruh anak saya alihkan tangan daripada mesin itu .

"Maknanya dia memang suruh anak saya buat sendiri ," dakwanya yang juga pelanggan tetap di restoran tersebut.

Roziana berkata, sebelum ini, dia juga pernah membungkus minuman di restoran sama dan pekerja berkenaan tidak mempunyai masalah untuk memberikan bantuan.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis sehari selepas kejadian berkenaan, namun dimaklumkan siasatan tidak boleh dilakukan kerana ia adalah kes kecuaian dan bukannya jenayah.

WhatsApp Image 2023-05-17 at 8.43.22 PM

Seramai empat pekerja restoran yang bertugas di premis berkenaan ketika kemalangan tersebut berlaku.

Kata Roziana, selepas mendapatkan pandangan peguam, dia bersama keluarga merancang untuk menyaman restoran berkenaan kerana mendakwa wujudnya elemen kecuaian hingga mengakibatkan kemalangan tersebut.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan, Tir Puryanah Mujito, 43, berkata, ketika kejadian, seramai empat pekerja sedang bertugas di premis tersebut.

Katanya, kemalangan tersebut hanya disedari oleh salah seorang pekerjanya yang ketika itu berada di dapur selepas tangan kanak-kanak tersebut tersepit di mesin berkenaan.

Tambahnya, dia tidak pasti bagaimana kanak-kanak berkenaan tahu menggunakan mesin terbabit yang diletakkan di dapur restoran.

“Pekerja pun tak tahu budak itu berada di dapur sebab masa itu dia tengah masak nasi goreng. Dia cakap dia cuma perasan bila tangan budak itu dah masuk mesin dan budak itu jerit,” katanya yang mengusahakan restoran tersebut sejak tahun lalu.

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Rabu membuat pemeriksaan di restoran terbabit susulan kes tersebut.

Sebanyak enam kompaun dikeluarkan antaranya membabitkan kesalahan pengendalian makanan, label keselamatan premis dan pengoperasian tanpa lesen. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram