'Mama jangan nangis, kakak boleh sabar', ibu terkedu dengar kata-kata anak putus 3 jari akibat mesin bungkus air


  • Massa
  • Khamis, 18 Mei 2023

Mangsa ketika menerima rawatan di Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam, Selangor.

IBU bapa mana yang tidak bimbang dan risau mengenangkan masa depan anak-anak mereka.

Begitu juga yang dirasakan ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang putus tiga jari selepas tangan kirinya tersepit pada mesin pembungkusan air di sebuah restoran kambing bakar baru-baru ini.

Meskipun anak kelima dari tujuh beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan negatif dari segi emosi, ibu mangsa, Roziana Abd Rasif, 40, dan suaminya masih bimbang bagaimana dia akan berdepan dengan orang ramai dan melakukan rutin harian kelak.

"Kita bimbang juga masa dah besar nanti (macam mana) dia nak urus diri guna tangan. Tidak dinafikan sedikit sebanyak rutin hariannya akan terganggu, mungkin tangannya akan jadi tak berapa kuat dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Roziana mengakui, Nur Iman Damia Mohd Nazri ialah seorang anak yang kuat semangat.

Malah katanya, semasa hari kejadian, anaknya sendiri yang cuba menenangkan dia yang dalam keadaan cemas ketika kejadian yang berlaku pada 29 April lalu.

"Dia lebih tenang daripada saya. Anak saya hanya menangis sewaktu di kedai makan dan dalam perjalanan ke Hospital Al Sultan Abdullah UiTM di Puncak Alam sahaja.

"Dia kata mama jangan nangis kakak boleh sabar. Memang saya tak boleh lupa kata-katanya.

"Dia anak yang kuat. Sekarang pun dia dah mula ikut saya pergi pejabat dan kalau sesiapa nak tengok jari dia pun, dia tunjuk saja. Tidak ada pula dia cakap malu.

"Masa awal-awal sakit, dia adalah cakap tidak mahu ke sekolah sebab malu, tapi sekarang dia okay. Cuma dia nak balut jari pergi sekolah sebab takut kawan-kawan lain tersentuh," ujar Roziana.

Nur Iman Damia (kiri) akan memulakan fisioterapi sebelum meneruskan semua sesi persekolahannya.

Menurut kakitangan awam itu, dia bersyukur enam anaknya yang lain boleh menerima keadaan Nur Iman Damia dan mereka masih boleh bermain bersama-sama seperti sebelum ini.

"Malah, abang-abangnya juga selalu jaga dan bantu dia menguruskan keperluan harian," luah Roziana.

Kongsinya, dia dan suami akan membawa semula anaknya ke hospital pada 23 Mei depan untuk mendapatkan rawatan susulan.

"Damia juga ketika ini perlu menjalani sesi fisioterapi sebelum dia cukup sihat untuk bersekolah semula.

"Selain di hospital, setiap pagi saya akan suruh dia buat senaman sendiri seperti genggam tangan secara perlahan-lahan dan bengkokkan jari. Kami bimbang jika tak buat apa-apa takut jarinya keras," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan Nur Iman Damia putus tiga jari selepas tangan kirinya tersepit pada mesin pembungkusan air di sebuah restoran kambing bakar di Puncak Alam, Selangor.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika mangsa bersama keluarga sedang menikmati hidangan di premis tersebut.

Kejadian tersebut berlaku ketika Nur Iman Damia menemani adiknya yang berusia tujuh tahun bagi mendapatkan bantuan pekerja restoran untuk membungkuskan beberapa minuman yang tidak habis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram