Pemuda PAS Kelantan tegur Khairul Aming pasal Coldplay


  • Politik
  • Khamis, 18 Mei 2023

Tiket konsert Coldplay: Music of the Spheres World Tour habis dijual pada Rabu.

MINGGU ini di mana-mana orang bercerita tentang Siri Jelajah Spheres World Tour melibatkan band popular dunia, Coldplay.

Setelah selesai 'berperang' pada Selasa, media sosial dibanjiri pula dengan hantaran mengenai kejayaan dan kegagalan warganet untuk mendapatkan tiket konsert yang bakal berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan.

Tidak ketinggalan, pempengaruh terkenal, Khairul Aming antara yang berjaya membeli tiket konsert berkenaan dan berita gembira itu dikongsikannya di Twitter.

Bagaimanapun, perkongsian itu dilihat tidak disenangi beberapa pihak, antaranya Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed yang bertindak menyiarkan satu surat terbuka bertujuan untuk menegur usahawan muda itu.

Mohamad Kamal

Mohamad Kamal menyifatkan, sebagai umat Islam dan juga pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial, dia tidak seharusnya secara terang-terangan mempromosikan konsert artis yang lantang mempromosikan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Saya layangkan surat ini sebagai seorang saudara seagama, apa lagi kita lahir di negeri yang sama. Atas semangat itu saya merasa terpanggil untuk memberikan teguran atas posting saudara yang berjaya membeli tiket Coldplay.

"Pada saya seorang figura awam yang bersih seperti saudara tidak seharusnya secara tidak langsung mempromosikan konsert daripada artis yang lantang mempromosikan LGBT.

"Alang kepalang kesedihan, terguris hati saya apabila membaca hantaran Twitter saudara yang bersungguh menempah tiket. Pastinya siapa saya untuk menghalang keinginan orang lain tetapi suka saya menitipkan pesan lantaran saudara adalah saudara seagama saya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Khairul Aming

Beliau turut mempersoalkan sama ada Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman sanggup menjadi antara individu yang menyebarkan budaya tidak sihat terutama dalam kalangan anak-anak muda.

Jelasnya, dalam usia yang matang, Khairulaming seharusnya sudah bijak dalam membuat pertimbangan.

"Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti. Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda?

"Apa lagi ingin saya katakan saudara tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung begitu kerana saudara adalah ikutan ramai anak muda.

"Saya doakan saudara akan lebih berjaya dengan apa yang telah saudara usahakan dan terpaling saya doa adalah agar saudara membetulkan khilaf yang kesan akibatnya tidak terjangkau akal terhadap anak muda negara," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram