Nak belanja Coldplay nasi lemak, Kor Ming minta pemimpin PAS jangan beli tiket jika tak suka


  • Primer
  • Khamis, 11 Mei 2023

Coldplay bakal tampil dalam konsert sulungnya di Kuala Lumpur pada 22 November ini.

MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mempunyai cara unik bagi menyambut kedatangan kumpulan rock terkenal Britain, Coldplay yang bakal membuat konsert sulung di Kuala Lumpur pada 22 November ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, jika diberikan kesempatan, beliau sedia untuk membelanja ahli kumpulan tersebut merasai aneka hidangan popular kegemaran masyarakat di Malaysia.

"Jika sudi, saya akan belanja dia nasi lemak, nasi kerabu 'kelate', roti canai dan juga yong tau fu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita semasa menghadiri acara Hari Raya di Putrajaya, pada Khamis.

Menurut Kor Ming, sekiranya pelawaannya itu diterima oleh kumpulan tersebut, ia bakal membantu dalam mempromosikan keunikan makanan negara ke seluruh dunia.

PUTRAJAYA, 11 Mei - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengunjungi gerai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada majlis Jalinan Muhibah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan hari ini. -fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kor Ming ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya, pada Khamis. — Bernama

Langkah itu katanya dilihat bakal akan menokong usaha bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia yang bakal dijalankan pada 2025.

Dalam pada itu, beliau yang mengakui turut meminati kumpulan rock tersebut berkata, falsafah dibawa Coldplay khususnya dalam melestarikan alam sekitar adalah selari dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Jelasnya, ini dengan mengambil kira inisiatif dibuat kumpulan tersebut yang membuat menyumbang sebuah mesin pengutip sampah untuk tujuan pembersihan Sungai Klang pada 2019.

"Saya nak jaga kebersihan, dia pun bantu saya jaga alam sekitar," ujarnya.

Kor Ming menambah, beliau turut berharap pada masa akan datang, lebih ramai artis bertaraf dunia dapat hadir ke Malaysia bagi membuat persembahan.

Menurutnya, usaha tersebut sekiranya dapat direalisasikan bakal memberi impak besar khususnya dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara.

Mengulas mengenai bantahan dikemukakan pimpinan PAS terhadap konsert berkenaan, Kor Ming berkata, pendirian tersebut adalah tidak sesuai untuk masyarakat berbilang kaum di dalam negara.

"Kita harus saling hormat menghormati. Jika dia tidak suka Coldplay, senang sahaja, jangan beli tiket. Itu sahaja," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram