SUDAH menjadi kelaziman bagi masyarakat pada hari ini untuk menggunakan syarikat kurier sebagai khidmat penghantaran barang mahupun makanan ke sebuah destinasi yang dituju.
Golongan peniaga antara yang sering menggunakan perkhidmatan tersebut dengan rata-ratanya menjalankan perniagaan atas talian yang dilihat lebih mudah dan menguntungkan.
Namun, kebelakangan ini kita sering disajikan dengan berita kurang enak daripada peniaga yang kecewa dengan sikap sesetengah pekerja kurier yang gemar mencampak dan menghempas barangan niaga mereka.
Perkara itu secara tidak langsung mendatangkan kerugian buat seseorang individu itu yang semestinya mengalami kerugian dalam perniagaan mereka.
Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang pempengaruh terkenal, Khairulaming yang meluahkan kemarahannya di laman Twitter peribadi baru-baru ini.
Terkenal dengan perniagaan 'Sambal Nyet Berapi' yang menjadi kegemaran ramai, penghantaran makanan itu difahamkan gagal dijalankan dengan baik oleh sebuah syarikat kurier terkemuka, J&T Ekspres apabila bungkusan botol kaca itu dikatakan pecah.
Menurut Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, bungkusan tersebut terlebih dahulu sudah dibalut dengan sejenis pembalut tebal yang sering digunakannya, namun ia masih pecah dan gagal dihantar dengan baik.
Mendakwa ia bukan kejadian kali pertama berlaku, isu tersebut sering dihadapi beliau dengan beberapa lagi bungkusan sebelum ini turut mengalami nasib yang sama.
Tambahnya, kejadian seperti itu kebiasaannya akan ditanggung dan diganti semula kosnya oleh sesebuah syarikat penghantaran namun ia tidak berlaku pada J&T Ekspres.
"Pos Laju elok je hantar barang, kalau ada isu pun memang diorang akan ganti dan bertanggungjawab, ini entah kali ke berapa dah kes barang pecah dengan J&T.
"Nak kena balut dengan toto Narita agaknya," ciapnya di laman Twitter.
Khairulaming mendakwa, pihaknya terpaksa menggunakan perkhidmatan kedua-dua kurier itu memandangkan tugasan automatik (auto-assigned) setiap kali pihaknya membuat penghantaran kepada pelanggan.
Susulan kes tersebut, belum ada sebarang kenyataan dan komen dari pihak syarikat penghantaran itu setakat ini.
Majoriti sedang berusaha mendapatkan maklum balas dari pihak J&T Ekspres berhubung itu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram