[VIDEO] Kena hon je pun, penunggang motor berlagak samseng nak baling kayu di Besut


  • Tular
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Tangkap layar penunggang motosikal cuba mengugut pemandu kenderaan yang membunyikan hon kepadanya di Besut pada Sabtu.

HANYA kerana tidak berpuas hati apabila dihon sebuah kenderaan ketika melalui simpang, seorang penunggang motosikal bertindak mengejar kereta terbabit.

Kejadian yang difahamkan berlaku di Pengkalan Nyireh, Besut, Terengganu kira-kira pukul 10.55 pagi Jumaat itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta tersebut.

Video berdurasi 1 minit 02 saat itu dikongsikan menerusi Twitter pada Sabtu dengan turut menyertakan akaun Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai makluman kepada pihak penguatkuasa.

Menurut video tular tersebut, penunggang yang memakai helmet biru dan berpakaian serba hitam itu bukan sahaja cuba memintas kereta berkenaan, malah turut mengeluarkan kayu dipercayai untuk menggugut mereka.

Bagaimanapun, dia dilihat meletakkan kayu ke bawah dan mula menunggang motosikal ke tepi jalan apabila mendapati kenderaan terbabit mempunyai dashcam.

Wajahnya sempat dirakam oleh penumpang yang berada di dalam kereta berkenaan dan situasi itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Antaranya, bobbyalistor mempersoalkan tindakan lelaki terbabit marah kepada pemandu yang membunyikan hon kepadanya.

"Apa sebab dia nak marah orang hon ya? Sebab dia terkejut kena hon ke?" soalnya.

"Cehh, berlagak. Dia tak tahu kalau sekali kereta ni libas belakang ego yang tak seberapa tu baru ada akal. Terpaling acah ganas," kata syamilazizan pula.

Belum ada kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram