Remaja maut rempuh lori tersadai di lebuh raya dekat Lunas


  • 112
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Insiden kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal remaja yang maut di lokasi kejadian. — Facebook

SEORANG penunggang motosikal dilaporkan maut selepas merempuh bahagian belakang sebuah lori yang rosak di bahu jalan dekat Lebih Raya Kulim-Butterworth arah timur dari Lunas ke Kulim pada awal pagi Sabtu.

Dalam kemalangan tersebut, remaja berkenaan difahamkan tidak menggunakan laluan motosikal sebaliknya memilih untuk melalui laluan kenderaan berat di jalan utama.

Dipercayai menunggang dengan kelajuan tinggi, mangsa kemudiannya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori yang berhenti di tepi laluan lebuh raya berkenaan.

Dalam pada itu, BKE menerusi ciapannya di Twitter menjelaskan, trafik kekal terkawal dengan laluan di lokasi kejadian berjalan lancar ketika kejadian.

Laluan lorong kiri dilaporkan terhalang di BKE KM 20.4 arah timur dari Lunas ke Kulim dan orang ramai diminta pandu dengan berhati-hati.

Namun, belum ada sebarang kenyataan polis dan bomba berhubung kemalangan terbabit setakat ini dan aliran trafik di laluan berkenaan difahamkan sudah kembali pulih seperti biasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram