[VIDEO] Penunggang motosikal maut dirempuh dari belakang, 6 individu ditahan bergaduh di Tanjung Bungah


  • 112
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Keadaan kereta BMW yang terlibat dalam sebuah kemalangan melibatkan motosikal ditunggang oleh seorang wanita di Tanjung Bungah pada Isnin lalu.

ENAM individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan melibatkan ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta jenis BMW warna putih di Tanjung Bungah, George Town, Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, semua individu terbabit bagaimanapun diberikan jaminan polis.

Katanya, video kejadian itu dikesan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Alex Law kira-kira pukul 2 petang pada Jumaat memaparkan kejadian kemalangan jalan raya dan pergaduhan melibatkan beberapa individu di tepi jalan.

"Hasil semakan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku 8 Mei lalu kira-kira pukul 11.20 pagi Isnin di Jalan Loh Poh Heng, Tanjung Bungah.

"Pergaduhan berpunca daripada pertengkaran mulut antara ahli keluarga kedua-dua pihak yang terlibat dalam kemalangan,” katanya dalam kenyataan Jumaat.

Menerusi video yang tular itu, terdapat sekumpulan individu bergaduh di lokasi kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan sebuah kereta.

Jelas Soffian, kemalangan melibatkan sebuah motosikal ditunggang oleh seorang wanita tempatan dengan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan.

"Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes kemalangan maut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sehingga RM50,000,” katanya.

Tambahnya, kes pergaduhan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (kesalahan merusuh) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya, siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera) yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

"Pihak polis menasihati ramai agar tidak menularkan rakaman video kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram