
SEBUAH motosikal baru dibeli tidak sampai sebulan dilaporkan dicuri dalam kejadian dipercayai berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Selayang, Batu Caves, Selangor pada Jumaat.
Insiden tersebut yang berlaku sekitar pukul 10 pagi tadi itu dirakam oleh individu yang berada berdekatan lokasi kejadian.
Menerusi rakaman tersebut, pencuri terbabit dilihat membawa keluar motosikal jenis Yamaha LC berwarna coklat itu daripada tempat parkir yang berada di bawah sebuah pokok besar.
Suspek yang memakai seluar pendek dan baju berwarna gelap dilihat turut dibantu seorang lagi individu lain yang membawa sebuah motosikal.
Kedua-dua individu terbabit kemudiannya menunda motosikal yang dicuri itu untuk membawanya lari dari lokasi terbabit.
Video kecurian tersebut dikongsikan rakan kepada pemilik motosikal bernombor plat, VKN 4045 yang menghubungi Majoriti untuk mewar-warkan insiden tersebut.
Difahamkan, laporan polis sudah dibuat berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram