[VIDEO] Jeriji tingkap bilik guru dipotong, habis barang cikgu digeledah


  • Tular
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Tangkap layar video bilik guru di sebuah sekolah di utara tanah air dalam keadaan berselerak selepas dipecah masuk.

KAKITANGAN di sebuah sekolah dikejutkan dengan kejadian bilik guru dalam keadaan berselerak selepas dipecah masuk.

Kejadian pecah masuk itu difahamkan berlaku di sebuah sekolah di utara tanah air.

Video berdurasi 20 saat yang dikongsikan di aplikasi TikTok pada Sabtu menunjukkan tingkap jeriji bilik guru berkenaan dipotong segi empat, dipercayai menjadi laluan pelaku untuk masuk ke dalam bilik itu.

Lokasi sebenar sekolah begitupun tidak didedahkan dalam video berkenaan.

Susulan itu, barangan guru seperti alat tulis, kertas, buku, fail dan kotak dilihat berantakan di atas meja.

Turut kelihatan, laci milik guru-guru digeledah dan diletakkan di atas lantai, selain kebanyakan kerusi juga dialihkan dari tempat asal.

Menurut individu yang memuat naik video tersebut, pelaku berkemungkinan hanya ingin mencari wang kerana mereka mendapati barangan berharga yang lain masih selamat.

“Yang lawaknya benda lain yang harga beribu dia tak usik. Dia memang cari duit ja, dapat sen-sen sajalah sebab masing-masing tak tinggal duit di sekolah.

“Hang (Awak) buat laguni (macam ni) hang dapat apa ja?” soalnya.

Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi warganet, antaranya Verneley sambil berseloroh mengatakan si pelaku berbuat sedemikian kerana ingin mendapatkan semula telefon bimbit yang dirampas oleh guru mereka.

Sementara itu, pengguna akaun TikTok dengan nama ZettyJaehyun turut mempersoalkan tindakan individu yang menggeledah bilik guru sedangkan ramai sedia maklum, lokasi itu bukanlah tempat yang selamat untuk menyimpan wang dalam jumlah yang banyak.

“Dia nak cari apa dalam bilik guru? Tidak ada apa-apa pun. Bukannya bilik guru ada simpan duit macam dalam bank,” ujarnya.

“Mana pengawal keselamatan, tak kan tak dengar jeriji besi kena potong?” soal Fauzul2414 pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram