TAHUN 2023 dijangka menjadi permulaan kepada mimpi ngeri buat pengusaha durian tempatan susulan raja buah keluaran China bakal memasuki pasaran pada Jun depan.
Penulis buku geopolitik dan sejarah ekonomi, Ahmad Faezal berkata, negara berkenaan mengimport sebanyak 825,000 tan durian bernilai AS$4.03 bilion setiap tahun.
Namun katanya negara Tembok Besar China yang menanam pokok durian tempatan selepas beberapa siri kajian mula membuahkan hasil sejak empat tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 2,450 tan durian mula memasuki pasaran pada Jun depan hasil tuaian daripada ladang sebesar lebih 2,000 hektar bersamaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"(Untuk) bulan Julai, Ogos dan lain-lain itu kira lain, sebab China sasar bekalan tahunan dari ladang domestik adalah sebanyak 45,000 hingga 75,000 tan.
"75,000 tan tu baru 9 peratus banding total import mereka. Tak banyak kan? Masalah sekarang, China sudah pasti akan cuba kembangkan industri durian ni nak produce lagi banyak," katanya dalam satu bebenang di Twitter pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahmad Faezal berkata, pasaran durian juga kelihatan sedang mendidih seiring dengan kewujudan gelembung harga yang akan mengganggu harga raja buah tersebut dalam pasaran.
Katanya, walaupun permintaan durian tempatan masih mendapat permintaan di China, ia mungkin akan berkurang setelah negara tersebut boleh menghasilkan buah tersebut.
Tambahnya, jika permintaan terhadap raja buah tempatan menurun, gelembung harga buah berkenaan akan pecah, menyebabkan harga jatuh mendadak susulan berlaku lambakan buah tidak dieksport ke luar negara.
"Dan masalahnya, harga durian ditentu habis ikut demand. Kalau demand tu turun, habis. Habis. Habisss. Tu belum kira macam kes lebih 30,000 pekebun musang king berputih mata sebab produktiviti drop 60 peratus kerana serangan serangga dan faktor cuaca. Nilai kerugian tinggi.
"Macam saya cakap, orang ramai tak kisah kalau harga collapse. Tu the worst part. Orang ramai juga entahnya takkan beli sebab bila dah hidu price collapse, mereka akan biar agak lama sampailah yakin harga dah betul-betul melantai. Waktu tu baru beli banyak-banyak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram