KABEL lampu di rumah keramat skuad The Bos Gaurus (TBG) iaitu di Stadium Perak, Ipoh dilaporkan hilang sekali lagi menjelang aksi saingan Liga Super menentang Selangor FC pada 20 Mei depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin menggunakan akaun Facebook, TBG Super Fan pada Jumaat.
"Stadium Perak kena curi kabel lagi," katanya.
Bobie Farid mendakwa kejadian itu seolah-olah ada unsur sabotaj memandangkan ia berulang selepas kali terakhir berlaku kira-kira dua bulan lepas.
"Sesuatu kan? P/S: Game on katanya boleh baiki so chill chill je la," ujarnya di hantaran sama.
Keadaan kabel elektrik di Stadium Perak pada 17 Februari lalu. — Facebook
Rata-rata penyokong turut menggesa supaya pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) dilaksanakan di situ supaya kejadian sama tidak berulang lagi pada masa depan.
"Kalau macam ni letih la... takkan lepas habis game nak kena cabut kabel simpan. Adoi... hidup tu kalau tak boleh menyenangkan orang, tolong jangan menjadi beban," kata Info Bolasepak Perak.
"CCTV tak de kome, senang je kena curi, letak saja jaga (pengawal keselamatan) ramai-ramai, kalau nampak, pelupoh) je," kata Shahrul Nizam Noh.
Pada 17 Februari lalu, kabel lampu di Stadium Perak dilaporkan hilang dan berkemungkinan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kerja-kerja membaik pulih lampu limpah di Stadium Perak sedang giat dijalankan. — Facebook
Bobie Farid sebelum ini juga mendakwa, ia ada kaitan dengan perbuatan khianat dan seperti bertujuan untuk menghalang daripada penyokong Perak FC datang ke stadium memberikan sokongan.
Bukan itu sahaja, susulan kejadian tersebut, Bobie Farid juga mendakwa seperti ada pihak yang tidak suka apabila pihaknya, XOX Berhad mulai mengambil alih Perak FC.
Bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj berhubung insiden pecah masuk bilik yang menempatkan kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak.
Semua kerja pembaikan dan penggantian sistem lampu limpah stadium selesai dibaik pulih pada 24 Februari, kira-kira seminggu selepas kejadian.
Kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Ipoh itu mengakibatkan anggaran kerugian RM135,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram