BEKAS pemain Kelantan FC, Carli de Murga menyifatkan tindakannya ‘angkat kaki’ daripada pasukan itu selepas hanya beberapa perlawanan adalah kerana tahap bola sepak di kelab itu yang didakwa begitu teruk.
De Murga juga mendedahkan bahawa bekas ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Choi Moon-sik adalah seorang jurulatih yang teruk dan dia berasakan prestasi permainannya semakin merosot apabila bermain di bawah bimbingan jurulatih dari Korea Selatan itu.
De Murga berasakan prestasi permainannya semakin merosot apabila bermain di bawah bimbingan Moon-sik. — Facebook/ Kelantan FC
“Sebelum ini, ada jurulatih dari Korea Selatan yang saya pun tak tahu saya boleh gelarkan dia jurulatih atau tidak kerana tahap latihannya amatlah teruk.
"Tahap latihan di sana (Kelantan) sangat teruk. Bukan kerana pemain, kelab ada pemain yang bagus tapi kualiti latihan begitu buruk.
"Sesi latihan ibarat melatih pemain akademi berusia 10, 12 tahun dan ia amat mengecewakan saya," dakwa bekas pemain Johor Darul Takzim itu kepada portal Harimau Malaya.
Kredibiliti Moon-sik sebagai jurulatih menjadi bahan pertikaian. — Facebook/ Kelantan FC
Pemain kacukan Sepanyol-Filipina itu berkata, sebagai pemain profesional, dia sentiasa mahu meningkatkan tahap permainan, namun latihan yang diterima di Kelantan FC membuatkan prestasinya semakin merudum.
"Kemudian mereka pecat dia (Moon-sik) dan jurulatih yang datang selepas itu bagi saya lebih teruk. Saya boleh ambil seorang pekerja 7-Eleven dan pekerja itu boleh jadi jurulatih yang lebih baik daripada kedua-duanya,” katanya.
Menurut De Murga, dia langsung tidak gembira sejak menyertai Kelantan FC dari hari pertama dan akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada kelab terbabit.
Kontrak De Murga bersama JDT tidak disambung kerana persembahannya tidak begitu memberangsangkan. — Facebook/ Kelantan FC
“Saya langsung tak gembira di Kelantan, selepas saya keluar daripada JDT, saya fikir mungkin saya tidak bersedia untuk ke kelab lain selepas merasai standard bola sepak yang tinggi di JDT jadi saya berehat seketika, tetapi saya rindukan bola sepak dan menyertai Kelantan.
"Kelantan ada ramai pemain yang bagus, saya yakin di bawah jurulatih dan pengurusan yang bagus ia boleh berada di pertengahan liga ketika ini," ujarnya.
De Murga berkata, pada mulanya JDT berhasrat untuk menyambung kontraknya namun tidak berbuat demikian selepas persembahannya tidak begitu memberangsangkan bersama kelab itu pada separuh kedua musim lalu.
Jelasnya, persaingan di JDT begitu sengit dan standard yang diperlukan adalah tinggi, jadi sesiapa yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak akan dikekalkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram