[VIDEO] Tak 'respect' senior punca pelajar ditumbuk, diterajang beramai-ramai di Kemensah


  • 112
  • Jumaat, 12 Mei 2023

Tangkap layar video tular pada Khamis apabila sekumpulan pelajar sekolah menengah didakwa membelasah seorang remaja.

HANYA kerana tidak menghormati senior dan perselisihan faham, seorang pelajar Tingkatan Tiga cedera selepas ditumbuk dan diterajang oleh sekumpulan pelajar di Trek Motocross Bukit Mar Mar, Kemensah, Selangor baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Farouk Eshak, mengesahkan menerima laporan tersebut pada Khamis.

Katanya, kejadian itu berlaku pada Isnin lepas.

"Pada 8 Mei pukul 9.30 pagi Isnin semasa di tangga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, mangsa ditumbuk di dada, dicekik dan ditendang di bahagian belakang oleh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima yang dikenali.

"Mangsa diugut akan disiku di bahagian muka sekiranya tidak berjumpa di Anjung Selera. Kira-kira pukul 3 petang mangsa diajak oleh lima suspek ke Bukit Mar Mar, Kemensah lalu dipukul.

"Punca kejadian dipercayai disebabkan selisih faham tidak hormat antara mangsa dan sekumpulan pelajar senior Tingkatan Lima," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Mohd Farouk lagi, salah seorang suspek menumbuk muka mangsa sebanyak empat kali sambil disaksikan kira-kira 15 pelajar lain.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi, kepala, luka di kening kiri, rahang belakang tengkuk dan mengalami kesakitan serta lebam.

Menurut Mohd Farouk, semua suspek sudah dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

"Pihak polis memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam perbuatan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap orang lain," katanya.

Pada Khamis, Majoriti melaporkan satu video tular memaparkan seorang remaja lelaki dibelasah sekumpulan pelajar sekolah di satu kawasan yang tidak dapat dikenal pasti.

Beberapa klip rakaman kejadian tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram, _maisarahmazlan pada Khamis.

"Kau tak 'respect'," kata salah seorang suspek sambil menumbuk kepala dan badan mangsa secara bertubi-tubi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram