[VIDEO] Teman lelaki siku kekasih atas motor sampai terkulai di Johor


  • Tular
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Tangkap layar dua individu dipercayai pasangan kekasih bergaduh di Kompleks Mutiara Johor Land, Johor Bahru, Johor pada Khamis.

PERBUATAN seorang penunggang dan pembonceng yang bergaduh di atas motosikal, kini menjadi perbualan netizen apabila aksi mereka tular dalam media sosial sejak Jumaat.

Tindakan kedua-dua individu berkenaan yang dipercayai pasangan kekasih itu menarik perhatian ramai apabila wanita terbabit kelihatan lemah selepas dipukul.

Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna laman Facebook, melatinyonyamekgede, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada Khamis di Kompleks Mutiara Johor Land, Johor Bahru, Johor pada Khamis.

"Pasangan bergaduh atas motosikal berakhir dengan tragedi teman wanita pengsan. Lelaki dayus," tulisnya.

Video berdurasi 29 saat itu pada mulanya memaparkan seorang lelaki memapah pasangannya ke tepi jalan lalu menyandarkannya di bonet sebuah kenderaan.

Turut kedengaran suara individu lain dipercayai suara perakam menerangkan situasi berkenaan.

"Dia terajang, dia siku sampai perempuan itu terjatuh daripada motosikal.

"Dia siku awek (kekasih) atau adik dia," katanya.

Pada masa sama, kelihatan beberapa penunggang motosikal yang lain berhenti di tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan.

Sehingga kini, tiada maklumat mengenai punca pergaduhan tersebut selain tidak dapat dipastikan hubungan antara kedua-dua individu berkenaan.

Sementara itu, hasil pemerhatian Majoriti, video yang dimuat naik itu juga sudah dipadamkan oleh pemilik akaun berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram