LAMBAKAN pemain di Johor Darul Takzim (JDT) boleh dikatakan sebagai punca kelab tersebut mampu merekodkan kejayaan demi kejayaan sejak beberapa tahun lalu.
Ia memberikan ruang kepada pihak kejurulatihan untuk melakukan penggiliran dalam setiap perlawanan, sekali gus memastikan kesemua mereka mendapatkan masa berehat yang cukup.
Bagaimanapun, musim ini, pendekatan tersebut sepertinya tidak diguna pakai apabila skuad Harimau Selatan mengambil keputusan meminjamkan keluar beberapa pemain.
Sri Pahang FC merupakan antara destinasi pilihan mereka apabila terdapat empat pemain yang dipinjamkan, iaitu Izham Tarmizi, Syazwan Andik, Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq.
Keputusan itu sepertinya bersesuaian memandangkan kesemua mereka sukar memperolehi minit permainan selain diletakkan dalam skuad simpanan musim lalu.
Namun, timbul pula tanda tanya apabila terdapat kemungkinan besar bahawa keempat-empat pemain itu tidak akan dibenarkan untuk diturunkan ketika aksi bertemu JDT.
Hal itu berdasarkan pemerhatian pada 2022 apabila beberapa pasukan terpaksa akur dengan terma yang ditetapkan apabila pemain pinjaman tidak dibenarkan beraksi ketika bertemu majikannya itu.
Tetapi, memandangkan kualiti keempat-empat pemain yang dipinjamkan ke skuad Tok Gajah cukup baik, terdapat kemungkinan bahawa pasukan Liga Super bakal meminjam mereka yang bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama JDT.
Menerusi pemerhatian, enam pemain dilihat sesuai untuk dipinjamkan keluar kepada kelab lain demi mendapatkan semula rentak di atas padang.
Cuma pada masa sama, peminat kelab yang mendapat khidmat keenam-enam bintang terbabit terpaksa menerima hakikat tidak dapat diturunkan jika menentang JDT, manalah tahu jika ia memang sebahagian daripada perjanjian dan persetujuan bersama antara kedua-dua pasukan.
1. Hazwan Bakri — Sabah FC
Hazwan Bakri terus bergelut untuk mendapatkan minit permainan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Hazwan Bakri merupakan penyerang yang juga boleh beraksi sebagai pemain sayap untuk JDT pada ketika ini. Namun begitu, sepanjang 10 aksi perlawanan Liga Super musim ini, dia masih belum diturunkan.
Sehubungan itu, pemain berusia 31 tahun dijangka akan dipinjamkan untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan demi meningkatkan prestasinya.
Pada ketika ini, desas-desus mengatakan pemain berketinggian 172 sentimeter ini akan dipinjamkan ke Sabah FC memandangkan dia berasal dari Labuan.
Selain daripada itu, skuad Sang Badak pastinya boleh menerima kehadiran bekas penyerang Selangor FC bagi digandingkan dengan Darren Lok.
2.Mohamadou Sumareh — Kelantan FC
Sumareh dikatakan bakal menyertai Kelantan FC secara pinjaman. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Pemain naturalisasi skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh pula dilaporkan bakal menyertai skuad The Red Warriors (TRW) bagi memperkuat jentera serangan kelab itu pada jendela perpindahan kedua dibuka Julai nanti.
Nama pemain itu menjadi bualan peminat selepas pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman mengadakan pertemuan bersama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik JDT.
Hal itu sepertinya relevan memandangkan skuad TRW masih perlu menambah baik jentera serangan mereka manakala Sumareh sukar mendapatkan minit permainan dengan lambakan pemain yang sedia ada bersama juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
3.Syafiq Ahmad — Kedah Darul Aman FC
Syafiq Ahmad perlu mengambil keputusan demi masa depannya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Khabar angin mengatakan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad bakal kembali menyertai skuad Sang Kenari bukanlah sesuatu yang baharu apatah lagi pemain berusia 27 tahun itu pernah menyarung jersi pasukan tersebut sebelum ini.
Kali terakhir pasukan Kedah mendapatkan khidmat bekas pemain Bawah-21 tahun (B-21) mereka adalah ketika Syafiq dipinjamkan dari Harimau Selatan bagi membantu skuad Sang Kenari menempuh musim 2022.
Tambahan lagi, dengan lambakan penyerang JDT pastinya memberi kesukaran untuk Syafiq menembus kesebelasan utama pada saingan Liga M 2023.
Syafiq yang kini hanya beraksi sebagai pemain gantian dengan hanya mengumpul sebanyak 14 minit permainan bersama JDT kembali meniti di bibir penyokong Kedah dan mereka berpendapat beraksi sebagai pinjaman di Darul Aman mampu menyelamatkan kariernya.
Malah, Kedah ketika ini dilihat agak tumpul di bahagian serangan dan kemasukan Syafiq ke senarai jentera serangannya pastinya memberi pilihan lebih baik buat ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain.
4. Akhyar Rashid — Terengganu FC
Akhyar pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Terengganu FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Beberapa portal sukan sebelum ini mendakwa, pemain sayap Harimau Selatan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid ataupun lebih dikenali sebagai Akhyar Rashid bakal dipinjamkan ke skuad Penyu musim ini.
Kehadiran pemain berusia 24 tahun itu dikatakan bagi menggantikan pemain sayap lincah, Faisal Halim yang berpindah ke Selangor FC.
Selain itu, Akhyar didesak untuk menjadi pemain pinjaman adalah disebabkan kekurangan minit permainan yang mana dia perlu bersaingan dengan beberapa nama besar di JDT seperti Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri.
5. Najmuddin Akmal — Perak FC
Najmuddin mempunyai masa depan cerah dalam kariernya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Skuad Seladang pada ketika ini sememangnya memerlukan seorang pemain tempatan yang boleh menggalas tugas sebagai penyerang selepas mengalami beberapa siri kekalahan.
Sehubungan itu, penyerang muda Harimau Selatan, Najmuddin Akmal sudah pastinya diimpikan penyokong untuk menyarung jersi The Bos Gaurus (TBG) selepas pemain itu menampilkan bakatnya dalam saingan Piala MFl.
Pada masa sama, dengan umurnya yang baru berusia 20 tahun, Najmuddin dilihat sesuai dengan percaturan yang dibuat Datuk Lim Teong Kim yang tidak asing dalam pembangunan bakat bola sepak di negara ini.
Bagaimanapun, dengan hubungan dingin antara Teong Kim serta JDT, adakah kelab Selatan tanah air itu akan membenarkan pinjaman itu berlaku pada Julai akan datang?
6. Syahmi Safari — Penang FC
Syahmi terpaksa memanaskan bangku simpanan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Seorang lagi pemain JDT, Syahmi Safari turut dikaitkan dengan perpindahan jendela kedua musim ini.
Walaupun dia dilihat cemerlang dengan menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol sepanjang empat perlawanan, namun dia masih memerlukan minit permainan.
Selain itu, Penang FC juga memerlukan nafas baharu untuk musim ini kerana pasukan itu dilihat antara kelab yang masih gagal mengekalkan momentumnya.
Impak yang diberikan oleh pemain import seperti An Sae-hee dan Giovane Gomes juga dilihat masih gagal untuk memberi kesan lebih baik, selain kadangkala menjadi beban buat pasukan. Jadi, Syahmi adalah calon pemain pinjaman terbaik yang diperlukan The Panthers. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram