OKU kerdil tagih simpati kerajaan tangani isu pekerjaan dan pengangkutan


  • Massa
  • Khamis, 11 Mei 2023

Golongan OKU kerdil memerlukan ruang dan infrastruktur yang sesuai dengan ketinggian mereka untuk bekerja. — Gambar Hiasan

KESUKARAN untuk mendapatkan pekerjaan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU) kerdil bukanlah isu yang baru dibangkitkan.

Namun begitu, kebelakangan ini masalah tersebut bukanlah isu besar memandangkan kerajaan dan masyarakat sudah mula peka dan memberi peluang sama rata kepada golongan tersebut.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM), Jasmie Shafie berkata, peluang pekerjaan itu banyak tetapi hakikatnya ketika ini mereka mengalami masalah untuk memilih pekerjaan yang sesuai.

"Kesedaran mengenai keperluan untuk OKU berdikari dan bekerja itu ada tetapi ia tidak dilakukan secara menyeluruh.

"Hal ini kerana, golongan kerdil seperti kami memerlukan ruang dan infrastruktur yang sesuai dengan ketinggian kami.

"Saya tidak nafikan, berbanding 20 tahun lalu banyak yang berubah dan golongan OKU kerdil sudah mendapat pekerjaan dalam sektor awam mahupun swasta.

"Malah, ada yang menjawat jawatan besar dalam industri namun bukan semua orang bernasib baik dan ada dalam kalangan orang kerdil ini masih bergelut mencari pekerjaan," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2023-05-11 at 15.50.45 (1)

Jasmie berkata, peluang perkerjaan banyak tetapi mereka mengalami masalah memilih pekerjaan sesuai.

Jasmie yang juga penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan menjelaskan masalah utama yang dihadapi mereka pada ketika ini adalah kemudahan yang disediakan untuk golongan OKU masih lemah.

"Saya nampak di negara ini masih kurang kesedaran malahan keadaan sekeliling juga tidak cukup membantu dalam perkara ini (kemudahan kepada OKU). Ini baru orang kerdil, bayangkan yang buta.

"Saya beri contoh, untuk kami (OKU kerdil) tidak ada kenderaan sesuai serta laluan khas kenderaan yang dapat kami gunakan. Sehubungan itu, ada yang terpaksa menolak peluang pekerjaan yang diberikan kerana jauh dari rumah.

"Mereka menolak pekerjaan tersebut kerana memikirkan isu bagaimana mereka nak bergerak pergi dan balik kerja.

"Bukan semua boleh dapat lesen kenderaan khas, kalau ada lesen sekalipun tiada kereta bersesuaian untuk kami pandu. Kalau naik kenderaan awam, bukan semua tempat ada kesalinghubungan," katanya.

Jasmie yang berasal dari Perlis juga berharap agar kerajaan mengambil berat tentang isu tersebut kerana dia tidak mahu masa depan golongan OKU kerdil terbatas hanya disebabkan perkara tersebut.

WhatsApp Image 2023-05-11 at 15.50.45 (2)

Sehingga kini seramai 1,200 OKU kerdil mendaftar bersama PKOKM sudah mendapat pekerjaan di seluruh negara.

"Kita lihat sahaja negara maju seperti di Eropah, mereka mempunyai fasiliti untuk OKU yang sesuai seperti pengangkutan, laluan khas, kemudahan-kemudahan lain malah mempunyai laluan khas untuk kenderaan OKU.

"Mungkin ada yang akan mencadangkan untuk menggunakan kenderaan awam, teksi dan e-hailing tetapi bukan semua mampu.

"Nak beli dan memandu kenderaan, dengan keadaan kami ini agak mustahil juga," katanya dengan nada bergurau.

Ditanya berapa ramai golongan OKU kerdil yang sudah mendapat pekerjaan, Jasmie berkata, sehingga kini seramai 1,200 orang yang mendaftar bersama PKOKM sudah mendapat pekerjaan di seluruh negara.

"Untuk makluman, kami (PKOKM) memainankan peranan sebagai perantara kepada masyarakat kerdil yang berdaftar untuk mencari peluang pekerjaan.

"Pada masa sama, kami turut memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan. Kami sedar ada dalam kalangan OKU kerdil ini kadang-kadang buntu untuk mencari pekerjaan di tempat mereka.

"Sehubungan itu, saya meminta mereka yang mempunyai kekurangan ini, jangan malu dan tampilkan diri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram