Waspada kes strok haba dan Covid-19, pengunjung tak wajib pakai topeng muka di LIMA '23


  • Primer
  • Isnin, 08 Mei 2023

Seramai 45,000 pelawat dari seluruh dunia dijangka akan berkunjung ke acara LIMA’23 pada Mei ini. — The Star

MENJELANG Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) di Langkawi, Kedah, orang ramai tidak diwajibkan memakai topeng pelitup muka sebaliknya disarankan untuk mengekalkan penjarakan sosial dan langkah lain pencegahan kes Covid-19 yang kian meningkat naik ketika ini.

Bakal berlangsung pada 23 hingga 27 Mei nanti, pengunjung tempatan dan negara asing diminta sentiasa berwaspada sepanjang penganjuran program tersebut yang dijangka dihadiri kira-kira 45,000 pelawat dari seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, tiada sebarang kewajipan untuk pengunjung memakai topeng pelitup muka di LIMA’23.

WhatsApp Image 2023-05-08 at 12.12.02 PM

Hasbi Habibollah tidak menetapkan sebarang kewajipan pemakaian topeng pelitup muka pada penganjuran LIMA’23 tahun ini.

“Pengunjung tak wajib memakai topeng pelitup muka, tetapi perlu sentiasa beringat dan menjaga kesihatan serta penjarakan sosial masing-masing.

“Penganjuran LIMA’23 berlangsung di kawasan terbuka jadi penularan Covid-19 dijangka mampu diatasi sekiranya orang ramai mampu mengekalkan langkah pencegahan seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya kepada Majoriti.

Menyedari kes strok haba dan wabak Covid-19 yang semakin meningkat naik ketika ini, Hasbi Habibollah turut berkata, langkah pembenihan awan yang dilakukan di beberapa buah negeri ketika ini diyakini mampu mengatasi kedua-dua isu tersebut.

“Dengan usaha pembenihan awan yang dijalankan di beberapa buah negeri ketika ini, kami di pihak MOT yakin kes strok haba akan berkurangan dan mampu diatasi selain orang ramai juga diminta sentiasa memantau tahap kesihatan diri masing-masing sebelum berkunjung ke LIMA ’23.

“Tiada kewajipan, tetapi pengunjung sentiasa disarankan untuk memakai topeng pelitup muka dan amalkan penjarakan serta kekalkan dehidrasi tubuh badan dalam cuaca panas ketika ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, MOT turut menyeru agar orang awam di Malaysia mempraktikkan sebaik mungkin pengangkutan awam bersempena penganjuran program mega itu.

Dengan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan individu, kesesakan lalu lintas dijangka mampu dikurangkan, selain masalah pencemaran daripada asap kenderaan juga dapat dibendung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram